Perniagaan seperti biasa jika darurat, kata timbalan menteri


shadow

Seorang timbalan menteri Sarawak berkata, pengisytiharan darurat tidak akan membabitkan pemerintahan tentera atau sekatan ke atas kegiatan ekonomi.

Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju berkata, rakyat tidak akan terbeban dengan sebarang pengisytiharan darurat dan perniagaan boleh beroperasi seperti biasa.

“Pemandu teksi masih boleh memandu dan Tan Sri masih boleh melabur di pasaran saham.

“Hanya Parlimen yang akan digantung, aktiviti politik terhad dan individu yang mahu menjadi wira tidak boleh menakutkan sesiapa pun dengan ‘kuasa besar’ mereka yang meyakinkan dan menggerunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan menteri tenaga dan sumber asli itu berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan bekas peguam negara, Tommy Thomas semalam yang pengisytiharan darurat tidak akan berperlembagaan.

Ali berkata, sebagai jurutera terlatih sebelum ini, kerjaya itu mengajarnya membina “jeda pasti selamat atau butang kecemasan” ke atas peranti yang dipasang untuk memastikan ada ciri keselamatan.

“Logik kejuruteraan saya memberitahu saya, tidak bersetuju dengan darurat bermaksud bersetuju dengan pilihan raya umum semasa penularan pandemik.

“Dan bahasa perundangan Tommy hanya menidakkan logik rasional seorang jurutera.

“Mari kita semua menjadi orang yang rasional dan munasabah serta tekan ‘butang jeda’,” katanya sambil menambah pemimpin politik dari kedua-dua pihak perlu kurang berpolitik dan memfokuskan usaha memerangi Covid-19 serta meningkatkan ekonomi.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan beberapa ahli Kabinet menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyampaikan cadangan mereka kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Bagaimanapun, tiada butiran berhubung cadangan itu, tetapi spekulasi tersebar luas mendakwa pengisytiharan darurat atau darurat separa antara perkara yang dikemukakan kepada Agong.

Perbincangan khas raja-raja Melayu sedang diadakan di Istana Negara bagi meneliti cadangan itu.-FMT

Tinggalkan komen anda