Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan memberikan impak serta merta kepada trafik domestik Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), namun permintaan dijangka berdaya tahan selepas sekatan ditamatkan.
TA Securities Holdings Bhd dalam notanya berkata, MAHB mencatatkan peningkatan kecil trafik semasa Hari Malaysia bulan lalu dan juga semasa Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia berkata, MAHB merekodkan 1.7 juta pergerakan penumpang bagi operasi domestik bulan lalu, meningkat 19.2 peratus berbanding bulan sebelumnya, dipacu oleh sektor domestik dan penumpang antarabangsa.
“Bagaimanapun, trafik pada September lalu masih lagi jauh merosot berbanding trafik setahun lalu,” kata firma penyelidikan itu.
Pergerakan penumpang pada September susut mendadak 79.5 peratus berbanding 8.4 juta pergerakan penumpang yang direkodkan pada September tahun lalu.
TA Securities berkata, secara keseluruhan, jumlah pergerakan penumpang untuk sembilan bulan pertama tahun ini adalah 21.9 juta.
Katanya, peningkatan kes COVID-19 di Malaysia kebelakangan ini turut mengesahkan pandangannya bahawa sempadan Malaysia mungkin akan ditutup untuk seluruh tahun ini.
Namun demikian, tegasnya, walaupun impak PKPB akan menjejaskan prestasi kewangan MAHB seperti dicerminkan oleh kelemahan harga sahamnya kebelakangan ini, ia tidak terlalu pesimis dengan hasil ujian fasa 3 COVID-19.
“Malah, pemimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini berkata, ada harapan vaksin COVID-19 ditemui sebelum akhir 2020.
“Justeru, pada penilaian kami, akan terus menggunakan pendekatan aliran tunai terdiskaun (DCF) yang menumpukan kepada fundamental jangka panjang kumpulan,” katanya.-BH
Tinggalkan komen anda