Perlu lanjut moratorium berikutan gelombang baharu Covid-19, kata kesatuan


shadow

BANK perlu meneruskan moratorium pinjaman untuk sekurang-kurangnya tiga bulan lagi bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan perniagaan yang menghadapi kemelesetan ekonomi susulan pandemik Covid-19, kata Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE).

Menurut kesatuan itu, ahli mereka sendiri turut berdepan dengan beban kewangan dengan tamatnya moratorium bulan lalu.

“Kerajaan perlu menggesa pihak bank untuk melanjutkan moratorium untuk sekurang-kurangnya tiga bulan kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya B40 dan M40 dan juga perniagaan yang baru pulih daripada kemelesetan ekonomi.

“Ramai ahli kami juga sangat memerlukan penangguhan bayaran balik pinjaman,” kata setiausaha agungnya J Solomon.

Tambahnya, ahli kesatuan dan ramai lagi mereka dari golongan berpendaoatan rendah tidak layak untuk mendapat moratorium bersasar yang ditetapkan pihak bank.

Katanya, ini kerana pihak bank menawarkan moratorium bersasar berdasarkan anggaran dan anggapan bahawa peminjam ini tidak kehilangan kerja atau berdepan potongan gaji, oleh itu mereka tidak berdepan masalah ekonomi.

Putrajaya melaksanakan moratorium enam bulan pada April untuk membantu peminjam berdepan masalah kewangan berikutan pandemik koronavirus.

Walaupun terdapat gesaan daripada banyak pihak untuk moratorium dilanjutkan, kerajaan berkata peminjam boleh merujuk kepada bank untuk memohon penyelarasan pinjaman.

“Kerajaan dan bank harus mengatasi masalah keluarga yang kehidupannya terjejas.

“Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan mengembalikan moratorium perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi untuk keluarga B40 dan M40 sekurang-kurangnya tiga bulan dan melakukan tinjauan mengenai keperluannya secara berkala berdasarkan keadaan ekonomi dan pekerjaan yang berlaku di negara ini,” kata Solomon.

Tinggalkan komen anda