Patut kuarantin tapi pergi kerja


shadow

Pihak polis sedang menyiasat dakwaan seorang penghantar barang melanggar peraturan kuarantin 14 hari dengan bekerja ketika tempoh itu.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata siasatan dibuat susulan laporan polis pada 13 Oktober oleh pengurus syarikat.

Laporan itu, katanya, menyebut seorang pekerjanya memakai gelang merah jambu, dipercayai tag kuarantin Covid-19.

Menurut Zairulnizam lagi, pengurus itu memberitahu pekerja diberikan gelang kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 9 Oktober dan diarah kuarantin di rumah selama 14 hari sehingga 22 Oktober.

“Pengadu telah arahkan pekerjanya untuk pulang ke rumah untuk kuarantin.

“Siasatan polis melalui panggilan telefon dengan dia mendapati bahawa beliau diberikan gelang pink oleh pihak KKM kerana seorang lelaki tinggal di kawasan perumahan beliau kini positif Covid-19.

“KKM telah mengambil tindakan dengan membuat ujian saringan ke atas dia dan telah diarahkan kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Polis menyiasat kes itu bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, berkaitan kecuaian yang boleh menyebarkan jangkitan penyakit berbahaya.

Jika sabut kesalahan, penghantar barang itu boleh dihukum maksimum enam bulan penjara.

Pekerja itu juga disiasat bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Ogos lalu, pemilik kedai nasi kandar di Napoh, Kubang Pasu yang dikaitkan dengan kluster Sivagangga dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana melanggar arahan kuarantin di rumah.

Tinggalkan komen anda