Ada beberapa asas mengapa Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mengambil langkah menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof.
Antaranya kata Mujahid ialah untuk membentuk kerajaan yang memiliki majoriti kukuh selepas Muhyiddin Yassin mengetuai pasukan yang sangat rapuh ketika negara berdepan krisis.
Kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu lagi sebuah kerajaan yang kukuh boleh menyumbang kepada keberkesanan pengurusan krisis Covid-19.
Satu lagi sebabnya, kata Mujahid, Pakatan Harapan (PH) perlu mengembalikan amanah rakyat yang diterima pada PRU 2018 selepas ia diambil melalui Langkah Sheraton.
“Mandat asal akan mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan ia sangat diperlukan pada waktu krisis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar semalam membuat kejutan apabila mengumumkan akan menghadap Agong pada 13 Okt selepas ia tertangguh baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu nanti ahli parlimen Port Dickson berkenaan dijangka akan mempersembahkan bukti dia mendapat sokongan majoriti ahli parlimen, sekali gus memungkinkan peralihan kerajaan.
Ketika ini kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin namun dia menguasai majoriti tipis dalam Dewan Rakyat.
Sokongan itu juga belum pernah dicabar di parlimen.
Mujahid berkata langkah Anwar itu boleh dianggap sebagai permulaan baru pentadbiran negara untuk memelihara semula proses demokrasi dan prinsipnya.
Katanya ia akan memberikan penegasan bahawa mana-mana kerajaan yang akan dibentuk di masa hadapan mestilah berdasarkan mandat rakyat melalui pilihan raya, bukannya melalui ‘tebukan atap’.
Menurut Mujahid perpaduan rakyat ketika ini juga sedang dinodai puak berfikiran perkauman sempit serta “penunggang agama” yang melaksanakan propaganda terancang.
“Langkah Anwar ialah menolak kelompok ini yang boleh menjejaskan kesepaduan rakyat dan membentuk semangat perpaduan nasional yang menyumbang kepada penyelesaian krisis Covid-19 hari ini,” katanya.
Ahli parlimen Parit Buntar itu juga menegaskan PN kini membuat sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan Malaysia, iaitu membentuk kabinet yang bersaiz sangat besar dan memberikan jaminan jawatan di syarikat berkaitan kerajaan.
Kesannya, kata Mujahid, kabinet dianggotai ahli parlimen yang tidak berdaya saing serta hilang fokus untuk menangani krisis.
Justeru menurutnya rakyat tidak boleh membiarkan negara dikendalikan kerajaan tanpa mandat, lemah dan tiada hala tuju nasional.
Pun begitu Mujahid mengingatkan agar orang ramai mengawal diri jika langkah diambil Anwar nanti mencapai kejayaan.
“Jika sampai masanya nanti usahlah kita berseronok dan bersorak.
“Kita harus insaf dan merendah diri kerana bebanan atas bahu Anwar dan majoriti ahli parlimen yang menyokongnya lebih berat daripada apa yang boleh kita bayangkan,” katanya.-Mkini
Tinggalkan komen anda