Macau Scam: Reman seorang datuk, dua polis dilanjut 38 hari


shadow

Tempoh tahanan reman seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ bersama dua anggota polis berhubung siasatan kes sindiket perjudian dalam talian dan kegiatan Macau Scam dilanjutkan 38 hari lagi oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret M Mageswary mengeluarkan perintah itu ke atas kesemua suspek lelaki berumur dalam lingkungan 34 hingga 39 tahun selepas membenarkan permohonan pihak polis untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap mereka, bermula hari ini.

Mereka sebelum ini ditahan reman selama 21 hari bermula 14 Okt lepas di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959.

Prosiding reman ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna oren bermula jam 10.30 pagi dan selesai sejam kemudian.

Peguam Jacky Loi ketika dihubungi Bernama mengesahkan kesemua suspek yang turut diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Shahrizal Abdul Manan, ditahan reman mengikut Seksyen 4(2)(a) POCA.

Pada 13 Okt, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata polis telah menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman yang dipohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.

Mereka ditahan polis berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian selepas dibebaskan SPRM.

– Bernama

Tinggalkan komen anda