KKM jangka jangkitan terus meningkat tapi tidak mendadak


shadow

Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah jangkitan Covid-19 akan terus meningkat tetapi tidak secara mendadak, susulan kejayaan menurunkan nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) kepada 1.5 berbanding tempoh 4 minggu.

Katanya, jangkitan di Kedah, Pulau Pinang, dan Perak yang mencatatkan kes aktif tinggi melibatkan kawasan penjara dan terasing daripada orang awam.

“Di Sabah kes meningkat hasil saringan bersasar lebih agresif di lokaliti sasar,” katanya di Facebook ketika memaklumkan perkembangan terkini pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut daerah.

Menerusi kemaskini 8,242 kes aktif, Sabah terus melaporkan bilangan tertinggi iaitu 5,563 kes, menyaksikan hampir semua daerah terlibat kecuali Nabawan dan Tongod.

Ini diikuti dengan Kedah, yang melaporkan bilangan kedua tertinggi iaitu 896 kes, diekori Selangor dengan 841 kes, Pulau Pinang 507 kes, dan Perak 128 kes.

Kuala Lumpur melaporkan 98 kes, Labuan 78 kes, Melaka 29 kes, Negeri Sembilan 26 kes, Johor dan Sarawak masing-masing 22 kes.

Sementara itu, 3 negeri melaporkan kes aktif terendah iaitu Terengganu (12), Pahang (2), dan Kelantan (1).

Perlis satu-satunya negeri yang melaporkan sifar kes aktif.

Mengikut daerah, Kota Kinabalu melaporkan bilangan kes aktif tertinggi iaitu 1,163 kes, diikuti Semporna (967), dan Kota Setar (810).

Sehingga kini Malaysia merekodkan 21,363 jangkitan dan 190 kematian .

Tinggalkan komen anda