Kaji semula izin majlis perkahwinan di kawasan PKPB – kata MMA


shadow

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mempertimbangkan kembali keputusan membenarkan majlis perkahwinan di kawasan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Jelas Presidennya Dr Subramaniam Muniandy, membenarkan perhimpunan secara besar-besaran akan meningkatkan risiko penularan Covid-19.

“Kerajaan seharusnya pertimbang kembali keputusan untuk membenarkan majlis perkahwinan di kawasan PKPB dan keputusan untuk membenarkan orang awam dari zon hijau masuk ke zon merah untuk menghadiri perkahwinan.

“Membenarkan himpunan besar-besaran akan meningkatkan penularan Covid-19. Tiada majlis sepatutnya diadakan di kawasan PKPB. 

“Ketua pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) juga sudah berulang kali menyuruh orang awam jauhi kawasan sesak,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tambah Subramaniam membenarkan orang awam memasuki kawasan PKPB juga perlu diteliti kerana seseorang itu berpotensi untuk dijangkiti, seterusnya mewujudkan kluster baru atau zon hijau bertukar menjadi zon merah.

Hari ini, kerajaan membenarkan majlis perkahwinan yang diadakan dalam kawasan PKPB mestilah dihadiri tidak lebih 250 tetamu pada sesuatu masa.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata sementara prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan yang dikenakan PKPB adalah sama, syarat tertentu boleh berubah berdasarkan keadaan setempat – misalnya di mukim Klang dan pantai timur Sabah. 

Subramaniam juga meminta kerajaan berunding lebih kerap dengan pemegang taruh serta mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa membuat keputusan agar langkah lebih tepat boleh diambil.

Tambahnya, dia juga menasihati pasangan yang bakal mengadakan majlis perkahwinan untuk mencari alternatif lain bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Sudah hampir akhir tahun dan banyak perkahwinan dirancang. Malangnya negara mengalami gelombang ketiga Covid-19 dan dengan hanya kesilapan kecil, keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Mungkin mahal untuk menangguhkan majlis perkahwinan tetapi kesihatan dan keselamatan perlu diberikan keutamaan. 

“Pasangan yang akan berkahwin mungkin perlu mencari alternatif atau jika tidak, mereka akan membuat diri dan tetamu berisiko untuk dijangkiti Covid-19,” katanya.

Tinggalkan komen anda