Jumlah MP Umno sokong PN: Saya matematik tak bagus, kata Ku Li


shadow

Pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah memberi alasan bahawa matematiknya kurang bagus ketika diajukan soalan berhubung peratusan ahli parlimen Umno yang masih menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya matematik tak bagus,” kata Ahli Parlimen Gua Musang itu secara berseloroh ketika ditanya pemberita berhubung jumlah peratusan ahli parlimen Umno yang masih menyokong Muhyiddin di Ibu Pejabat Umno, Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, beliau menghadiri ke mesyuarat ahli parlimen BN yang berlangsung hampir tiga jam bermula pukul 1 petang.

Menurutnya, mesyuarat itu diadakan bagi membolehkan ahli parlimen BN untuk menyatakan pandangan masing-masing mengenai kemelut politik tanah air.

“Apa yang disebut oleh ahli Parlimen BN dalam pertemuan akan diputuskan malam ini.

“Kita bincang banyak perkara. Semua itu akan dibincangkan malam ini,” katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno akan diadakan pada jam 8.30 malam ini untuk menentukan masa depan parti itu termasuk sokongan kepada kerajaan PN, pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, mesyuarat biro politik Umno sebelum ini, membuat keputusan untuk mempertimbangan menarik sokongan terhadap kerajaan PN sekiranya syarat mereka tidak dipenuhi.

Adalah difahamkan sesetengah pemimpin Umno kecewa dengan pembahagian jawatan kabinet dan pelantikan ke jawatan penting tanpa berunding terlebih dahulu.

Namun, pada 21 Okt, presiden parti Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan ‘gencatan politik’ dan berikrar akan memberi sepenuh tumpuan kepada agenda menangani Covid-19 serta membantu rakyat yang terkesan akibat virus itu.-Mkini

Tinggalkan komen anda