Jangan ambil lewa, teruskan patuhi SOP – Dr Noor Hisham


shadow

Orang ramai diminta mematuhi prosedur amalan standard (SOP) ditetapkan kerajaan, dalam menangani gelombang ketiga penularan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noorhisham Abdullah, berkata pandemik berkenaan tidak boleh dipandang remeh walaupun jentera perubatan negara mampu menanganinya dengan baik.

Katanya, kegagalan orang ramai untuk mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa akan memberi implikasi serius di kemudian hari, apatah lagi apabila dengan kewujudan virus mutasi D614G.

“Kementerian amat mengharapkan kerjasama orang ramai, khususnya di Sabah supaya melaksanakan sepenuhnya langkah pencegahan bagi membantu kementerian mengekang jangkitan dari terus melonjak.

“Elakkan kawasan sesak dan terkurung, jangan bersosial pada jarak dekat dan teruskan dengan langkah norma baharu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham dalam sidang media secara maya itu berkata, adaptasi terhadap normal baharu mencakupi pemakaian pelitup muka di khalayak ramai dan penjarakan fizikal.

“Kegagalan kita mematuhi SOP akan memberi ruang untuk virus COVID-19 tersebar dengan lebih luas. Marilah kita berusaha memutuskan rantaian jangkitan ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menangani masalah logistik, membabitkan ujian ke atas sampel yang diambil dari penduduk di Sabah.

“Masalah timbul apabila makmal di Sabah hanya mampu menguji sehingga 3,000 sampel sehari. Semua sampel berkenaan diuji seberapa segera yang boleh.

“Kita memiliki kapasiti namun berdepan isu logistik untuk membawa sampel dari Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sasaran mereka adalah menguji sampel berkenaan dalam tempoh 72 jam.

Tinggalkan komen anda