COVID-19: 7 kematian baharu dilaporkan


shadow

Tujuh kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan, hari ini, membabitkan enam mangsa di Sabah dan seorang lagi di Selangor.

Perkembangan itu menyaksikan jumlah keseluruhan korban wabak itu kini mencecah 187 mangsa (0.9 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kematian ke-181 membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun yang tiada latar belakang penyakit lain, dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, kematian ke-182 pula membabitkan wanita tempatan berusia 70 tahun yang turut menghidap penyakit darah tinggi, dan meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah.

“Seterusnya, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun dengan rekod penyakit darah tinggi, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

“Satu lagi kes membabitkan wanita warga asing berusia 55 tahun yang turut menghidap penyakit darah tinggi, dan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, Sabah,” katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seorang lelaki warga asing berusia 41 tahun tanpa latar belakang penyakit lain, meninggal dunia di Hospital Tawau.

Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang turut menghidap penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia pula meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“Seorang wanita tempatan berusia 46 tahun tanpa rekod penyakit lain, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Selangor.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya.-BH

Tinggalkan komen anda