Biar Nazri Aziz masuk Pakatan, kata pegawai Annuar


shadow

PEGAWAI Annuar Musa menyerang balas bekas naib presiden Umno Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menggesa parti itu menamatkan kerjasama dengan Bersatu dan keluar daripada kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Setiausaha akhbar kepada menteri Wilayah Persekutuan itu, Tun Faisal Ismail Aziz bertindak demikian bagi mempertahankan Annuar yang masih mempertahankan kerjasama itu.

Dalam kenyataannya, Tun Faisal berkata Nazri sepatutnya menyertai Pakatan Harapan (PH) untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Tun Faisal juga menganggap ahli Parlimen Padang Rengas tiada sebarang sumbangan kepada Umno selain menjadi beban kepada parti Melayu itu dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

“Nasihat saya kepada Nazri, simpanlah hipokrasi itu, anda adalah liabiliti kepada Umno dan presiden Umno.

“Jika Nazri mahu sangat bersama Anwar dan DAP, silalah masuk PKR, DAP atau PH,” kata beliau.

Serangan itu susulan kenyataan Nazri yang turut menyerang Annuar kerana masih menyokong PN, walaupun parti itu diketepikan dalam pembentukan kerajaan baharu Sabah.

Nazri merupakan antara pemimpin parti yang berasa dipermainkan Bersatu kerana parti mereka tidak mendapat jawatan ketua menteri Sabah walaupun menang lebih banyak kerusi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebaliknya melantik pengerusi PN Sabah, yang juga ketua Bersatu negeri itu Hajiji Noor sebagai ketua menteri.

Susulan itu, para pemimpin parti termasuk timbalan presidennya Mohamad Hassan meminta ketua mereka Zahid memberikan hala tuju jelas parti itu.

Kumpulan dalam Umno itu mendesak agar parti mengukuhkan Muafakat Nasional bersama PAS, dan bukannya dengan PN, tetapi ditolak oleh pemimpin seperti Annuar.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata Annuar tidak mahu menyalahkan Bersatu kerana mahu mempertahankan permuafakatan tiga parti terbesar umat Islam dan Melayu tanah air.

“Tidak seperti Nazri, Annuar berbeza pandapat dengan timbalan presiden kerana mahu kekal bersama tiga parti terbesar umat Islam dan Melayu serta tidak mahu Umno bergabung atau bekerjasama dengan Anwar dan DAP,” kata Tun Faisal.

Annuar sewaktu mempertahankan kerjsama dengan Bersatu itu juga melihat Umno masih empunyai peranan besar di Sabah kerana hampir semua wakil rakyatnya menjadi anggot exco.

Tun Faisal juga memempersoalkan sumbangan yang dihulurkan Nazri sewaktu parti itu sejak mereka kalah pilihan raya umum 2018.

“Saya tidak tahu apa sumbangan Nazri sepanjang 22 bulan Umno menjadi pembangkang.

“Saya tidak perasan kelibat Nazri di Sabah dan saya tidak pasti apa sumbangan Nazri sepanjang PRN Sabah,” kata Tun Faisal.

Tambahnya, sepanjang tempoh Umno menjadi pembangkang itu, Nazri juga hanya mengkritik bekas presiden Najib Razak dan menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Tun Faisal juga seterusnya mendakwa Nazri membawa agenda untuk bekerjasama dengan Anwar dan DAP semasa menjadi setiausaha agung Barisan Nasional.

“Tindakan Nazri ini telah menyusahkan presiden Umno dan mengakibatkan orang seperti saya terpaksa mempertahankan dan membersihkan nama presiden Umno,” katanya.

Lebih 10 ahli Parlimen Umno didakwa tidak lagi menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan beralih sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ia menguatkan dakwaan Anwar pada bulan lalu yang mengumumkan mempunyai sokongan majoriti untuk mengambil alih kerajaan semula.

Tinggalkan komen anda