Baskin-Robbins di 1Utama ditutup selepas pekerja positif Covid-19


shadow

Premis Baskin-Robbins di kompleks beli-belah 1Utama di sini ditutup, selepas seorang pekerjanya disahkan positif Covid-19.

Syarikat itu berkata, pekerja itu kali terakhir bekerja di cawangan berkenaan pada 22 Okt lalu dan kini dirawat di hospital kerajaan.

“Selepas dilaporkan mempunyai gejala, beliau segera dilepaskan daripada kerja dan dikuarantin sejak itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, cawangan itu segera ditutup untuk kerja pembersihan dan semua makanan dan bungkusan yang terdedah sudah dibuang.

“Semua rakan sekerja yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja itu kini menjalani kuarantin kendiri dan sedang menjalani ujian.

“Kumpulan berasingan akan dihantar ke cawangan itu selepas mereka disahkan negatif dalam ujian saringan.”

Syarikat itu berkata, ia akan membayar gaji pekerja yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan dan menggalakkan individu berisiko tinggi menjalani ujian secara proaktif.

Jika perlu katanya, pelanggan yang mengunjungi Baskin-Robbins di 1Utama dari 18 hingga 22 Okt lalu mungkin dihubungi Kementerian Kesihatan.

Kompleks beli-belah itu ditutup sejak 11 Okt lalu bagi tujuan pembasmian kuman dan saringan, selepas 3 pekerja dan seorang pengunjung dilaporkan positif Covid-19.

Kerajaan membenarkan 1Utama beroperasi semula 17 Okt lalu.-FMT

Tinggalkan komen anda