Amanah menyerahkan kes pukul melibatkan anggota parti itu kepada pihak polis.
Setiausaha Agungnya Mohd Hatta Md Ramli berkata, pihaknya yakin siasatan yang adil akan dilakukan.
“Laporan media berkaitan beberapa laporan polis mengenai kes jenayah yang melibatkan ahli-ahli parti Amanah adalah dirujuk.
“Berdasarkan perkara di atas, parti Amanah menyerahkan kes sedemikian kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan yakin siasatan yang adil akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hatta juga menasihati ahli Amanah agar bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan parti dalam semua urusan kepartian.
Pada 14 Okt lalu, ketua wanita Amanah (Awan) Teluk Intan dan adiknya yang merupakan naib ketua Awan Teluk Intan membuat laporan polis selepas didakwa dikasari.
Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pengadu mendakwa dia dan adiknya bersama lapan individu lain dijemput menghadiri satu pertemuan di sebuah hotel, namun tidak dibenarkan masuk.
Kira-kira jam 9.30 malam, ketika berada di hadapan pintu bilik mesyuarat tersebut, seorang lelaki menolak pengadu sehingga jatuh dan menumbuk adik perempuannya di muka.
Pengadu juga mendakwa suspek merupakan bekas setiausaha politik kepada pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner (ACP) Kamarudin Mat Salleh megesahkan insiden itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.-Mkini
Tinggalkan komen anda