Terdapat 659 kes baru dilaporkan setakat jam 12:00 tengah hari ini, maklum Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah.
“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 31,548 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 10,051 kes,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Sehingga kini, kata Dr Noor Hisham terdapat 83 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 19 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, tiga negeri tidak melaporkan kes baru iaitu Johor, Melaka dan Perlis.
Tiada kematian dan tiada pertambahan kluster baru hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 249 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
“Jumlah kluster aktif adalah kekal 133 kluster dengan jumlah kluster tamat adalah 114 kluster,” jelasnya lagi.
Daripada 659 kes baru pada hari ini, KKM memaklumkan terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu Bangladesh yang melibatkan bukan warganegara.
Tinggalkan komen anda