317 kes baru Covid-19, hari kedua rekod tertinggi


shadow

Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 317 kes baru Covid-19 direkodkan setakat tengah hari tadi, yang kesemuanya merupakan penularan dalam negara.

Ini merupakan hari kedua berturut-turut negara merekodkan jangkitan harian tertinggi sejak wabak itu melanda Mac lalu.

Daripada keseluruhan jumlah kes baru tersebut, sebanyak 37 kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 176 kes,” kata ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Kesemua jangkitan terbaru di seluruh negara melibatkan Sabah sebanyak 155 kes, Kedah (102), Selangor (32), Terengganu (9), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4), Johor (4), Sarawak (3), Pulau Pinang (3), Kelantan (2), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2) dan Negeri Sembilan (1).

Di Sabah, kluster Bangau-Bangau mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 35 kes baru, dikuti Benteng LD (10), Laut (3), Joo Hwa (2), dan Buang Sayang (1).

Sementara itu, Kedah mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi dengan 102 jangkitan baru, termasuk dua pesakit yang baru pulang dari Sabah.

Sebanyak 97 kes baru di negeri itu dikesan daripada kluster Tembok, dua kes dari kluster Bah Ketil dan dua kes dari kluster baru, Bah Lunas.

Kes indeks kluster baru berkenaan merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 35 tahun yang pulang dari kawasan berisiko di Sabah dan dikesan positif pada 30 Sept lalu.

Selangor pula mencatatkan kes ketiga tertinggi, melibatkan 15 kes saringan mereka yang pulang dari Sabah, 12 kes kluster Jalan Meru dan tiga kes daripada kluster baru, Jelok.

Satu lagi kematian terbaru

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan satu lagi kematian berkaitan wabak berkenaan.

Pesakit berkenaan merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Dr Noor Hisham berkata mangsa mula mengalami gejala batuk, kurang selera makan dan demam sejak 10 Sept sebelum dirujuk ke Hospital Tawau pada 24 Sept.

Mangsa disahkan positif Covid-19 selepas saringan pada 28 Sept, namun kesihatannya semakin merosot dan disahkan meninggal dunia semalam.

Kematian terbaru itu menjadikan angka korban akibat Covid-19 kini meningkat kepada 137 kes. 

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 29 kes positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tinggalkan komen anda