2 pegawai kanan tentera hadapi tuduhan rasuah tambahan


shadow

Dua pegawai kanan tentera sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tambahan menerima dan meminta suapan berhubung penawaran projek Kementerian Pertahanan kepada sebuah syarikat.

Semalam, Mohammed Feizol Anuar Ayob, 50, dan Che Ahmad Idris, 54, masing-masing menghadapi 5 pertuduhan rasuah.

Hari ini, Feizol menghadapi tambahan 2 pertuduhan rasuah, manakala Che Ahmad berdepan tambahan satu pertuduhan rasuah.

Feizol didakwa meminta suapan RM150,000 daripada Pengarah Urusan FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin sebagai dorongan untuk membantu menyerahkan surat niat menjadi rakan kongsi strategik dan kontraktor senggaraan peralatan perisikan di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.

Dia turut didakwa bersetuju menerima suapan itu. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada September 2019 di sebuah kedai kopi di Setia Alam, Shah Alam, atas kapasitinya sebagai penasihat ketenteraan kepada menteri pertahanan ketika itu.

Feizol menghadapi 5 pertuduhan menerima suapan RM128,000 daripada Elias semalam.

Hari ini, Che Ahmad didakwa menerima suapan GBP4,500 (RM25,000) daripada Elias untuk melantik FEHM Entity secara rundingan terus bagi perkhidmatan senggaraan di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan dan menyediakan perkhidmatan sokongan untuk sistem peperangan elektronik strategik (Prisma).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Induk Stride, Taman Bukit Mewah Fasa 9, Kajang, Selangor, pada 22 Nov 2019 atas kapasitinya sebagai ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik ketika itu.

Semalam, Che Ahmad berdepan 5 pertuduhan meminta dan menerima suapan lebih RM600,000.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah dan Hakim Mahkamah Sesyen, Yang Zaimey Ghazali menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi Feizol dan RM15,000 untuk Che Ahmad.

Semua pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tinggalkan komen anda