Zahidi minta maaf selepas dakwa pelajar UMS menipu


shadow

TIMBALAN Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin meminta maaf secara terbuka kepada Veveonah Mosibin beberapa jam selepas membuat dakwaan di Dewan Negara membayangkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berbohong kepada rakyat Malaysia.

Menjawab soalan di Dewan Negara pagi tadi, Zahidi berkata Veveonah tidak menduduki peperiksaan dan sebaliknya hanya membuat video untuk YouTube apabila memanjat pokok untuk mendapatkan akses Internet. 

Rakaman video yang dimuat naik pada 12 Jun lalu tular di media sosial, dan menjadi bualan umum mengenai kesukaran pelajar menjalani pembelajaran dalam talian setelah sekolah dan universiti ditutup susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Saya ingin membetulkan kenyataan mengenai adik Veveonah Mosibin tidak menjalani sebarang peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok tular di media sosial.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan. 

“Saya ingin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin dan juga akan membuat pembetulan di Dewan Negara Isnin nanti,” kata Zahidi, dalam satu kenyataan di Facebook.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia adalah agensi utama Putrajaya dalam usaha membendung gejala berita palsu dan tidak benar yang cenderung disebarkan oleh orang ramai di media sosial tanpa menyemak sumber yang sahih.

Laporan media mengenai jawapan Zahidi di Dewan Negara sebelum itu dikecam pelbagai pihak, termasuk rakan kursus asasi sains di UMS. Mereka memuat naik jadual peperiksaan yang menunjukkan tarikh kejadian.

Veveonah juga dipetik oleh Malaysiakini menafikan kenyataan Zahidi yang didakwanya sebagai palsu.

Zahidi membuat dakwaan terhadap Veveonah ketika menjawab soalan tambahan Senator Peter Mojuntin dari Sabah yang bertanya tentang tindakan kerajaan untuk memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar, khususnya di negeri itu.

Mojuntin memberikan contoh nasib Veveonah seperti yang tular melalui rakaman video beliau mengambil peperiksaan di atas pokok.

Zahidi mendakwa Veveonah merakamkan video itu untuk mengisi kandungan saluran YouTube.

“Veveonah merupakan seorang YouTuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah, dia hanya YouTuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita jangan mudah tertipu dengan YouTuber untuk membuat isu,” katanya di Dewan Negara.

Video Veveonah ketika itu menarik perhatian pihak UMS yang kemudian menawarkan beliau biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda di universiti itu. 

Tinggalkan komen anda