SEMUA individu yang tiba dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 bermula esok berikutan peningkatan kes di kawasan berisiko, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira situasi semasa untuk mencegah kawalan penularan jangkitan Covid-19.
“Oleh itu, bermula 27 September 2020 sehingga 10 Oktober 2020, aktiviti saringan akan dijalankan kepada semua individu yang baru tiba dari Sabah di pintu masuk antarabangsa,” katanya.
Kesemua individu tersebut juga diwajibkan menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah, sehinggalah ujian seterusnya membuktikan bebas Covid-19.
Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan hari ini selepas pusat pengundian di 73 Dun yang terlibat dalam pilihan raya negeri Sabah ditutup.
Lebih 700 kes aktif Covid-19 sedang ditangani di Sabah melibatkan lapan kluster, yang turut menularkan jangkitan baharu di semenanjung.
Dr Noor Hisham mengumumkan, daripada 82 kes baharu hari ini, 64 dikesan di Sabah dan 10 kes di semenanjung juga dijejaki dari negeri itu yang dikategorikan berisiko tinggi.
Beberapa pemimpin politik yang berkempen dalam PRN Sabah kini menjalani kuarantin selepas berhubung rapat dengan invidu positif Covid-19.
Antaranya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi setiausaha agungnya Annuar Musa yang menjadi kontak rapat seorang pemimpin parti, Mohd Razlan Rafii.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki juga mengumumkan sedang menjalani kuarantin rumah selepas pulang dari kempen di Sabah.
Ketua penerangan parti itu, Shahril Hamdan mengumumkan positif Covid-19 pada Rabu lalu dan hari ini, seorang calon BN dalam PRN Sabah, Sufian Abd Karim mengumumkan ujiannya positif.
Tinggalkan komen anda