TYT perlu masa putuskan KM baru Sabah – Bung


shadow

Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin meminta diberi masa untuk memutuskan ketua menteri baru Sabah, menurut Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas pertemuan di Istana Negeri di Kota Kinabalu, hari ini.

Terdahulu, BN dan Perikatan Nasional (PN) Sabah dikatakan gagal mencapai kata sepakat berhubung calon ketua menteri susulan kemenangan GRS dalam PRN Sabah semalam.

Selepas pertemuan selama kira-kira dua jam – yang turut melibatkan pemimpin GRS yang lain – kedua-duanya menuju ke Istana Negeri selepas memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada Juhar.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, Juhar berkata dia memerlukan masa untuk membuat pilihannya dan akan melakukannya secepat mungkin.

Difahamkan selain 38 kerusi yang dimenangi GRS, tiga Adun bebas turut menyokong penubuhan kerajaan baru. Ia menjadikan gabungan itu memiliki kelebihan sembilan kerusi berbanding Warisan Plus yang diketuai Mohd Shafie Apdal.

Tiga Adun tersebut ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).

Terdahulu, Bung yang ditemui pemberita selepas mesyuarat bersama pemimpin GRS tidak mengulas panjang mengenai keputusan yang dicapai.

“Tunggu TYT putuskan,” katanya, sambil menjelaskan dia “sangat gembira” pada masa ini.

Hajiji pula – yang meninggalkan mesyuarat lebih awal – enggan mengulas panjang, sebaliknya hanya berkata akan mengeluarkan kenyataan selepas ini.

Tinggalkan komen anda