Tuduhan baharu untuk ganggu kempen, kata Guan Eng


shadow

BEKAS ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng percaya dua pertuduhan baharu ke atasnya hari ini tidak lain bertujuan merosakkan nama beliau dan partinya menjelang pilihan raya.

Katanya, tuduhan melupuskan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta itu bermotifkan politik dan juga untuk mengalihkan perhatian daripada skandal kerajaan semasa.

“Dua lagi pertuduhan tambahan terhadap saya tidak berasas, bermotifkan politik dan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan untuk mencemarkan dan merosakkan reputasi saya menjelang PRN Sabah atau pilihan raya umum di peringkat nasional.

“Ini juga cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada pelbagai kontroversi atau skandal kerajaan yang tidak dipilih rakyat,” kata beliau dalam sidang media di Butterworth.

Beliau didakwa dengan satu lagi pertuduhan baharu hari ini melibatkan pelupusan harta tanah bernilai lebih RM135 juta secara curang kepada dua syarikat.

Beliau meminta dibicarakan bagi dua tuduhan melupuskan tanah kerajaan di Bandar Tanjong Pinang di Daerah Timor Laut, yang didakwa berlaku pada 17 Februari 2015.

Satu daripada dua bidang tanah tersebut yang bernilai lebih RM135 juta didakwa dilupuskan kepada syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Sebidang lagi bernilai lebih RM73.7 juta didakwa dilupus kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Pendakwaan di Mahkamah Sesyen Butterworth itu dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun maksimum, sebat dan denda. 

Kedua-dua syarikat itu mempunyai kaitan dengan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Tambah Guan Eng, pendakwaan hari ini sengaja dibuat bagi menimbulkan persepsi buruk terhadapnya menjelang penamaan calon PRN Sabah esok.

“Dakwa saya sehari sebelum penamaan calon itu jelas (untuk burukkan) daripada segi masa mereka pilih.

“Kita berjuang untuk kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia, inilah cabaran yang perlu kita hadapi,” jelas Ahli Parlimen Bagan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharudin Wan Ladin, Francine Cheryl Rajendram dan S. Selvaranjini.

Guan Eng  diwakili barisan peguam Gobind Sing Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan Sivanesan Achalingam.

Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM1 juta bagi kedua-dua pertuduhan beserta seorang penjamin.

Pertuduhan terbaru itu menyaksikan kali keempat beliau diheret ke mahkamah sejak Pakatan Harapan tidak lagi berkuasa di Putrajaya.

Pada ‘7 Ogos, Guan Eng ke mahkamah sama untuk tuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik melaksanakan projek jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lepas, Guan Eng juga di mahkamah sama dituduh meminta suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek RM6.3 bilion itu.

Zarul merupakan pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Manakala pada 11 Ogos, Guan Eng kembali ke mahkamah sama bagi tuduhan mendapatkan rasuah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng.

Tinggalkan komen anda