TM nafi kurangkan kelajuan muat naik pakej unifi


shadow

Telekom Malaysia Bhd (TM) hari ini menjelaskan konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukan 200Mbps seperti yang tertera dalam versi Soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, TM berkata tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps.

Menurutnya, pembetulan telah dibuat bagi kesilapan kelajuan muat naik untuk pakej 500Mbps yang tertera di FAQ, portal unifi dan risalah pada 2 September 2020.

TM berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) semalam bertajuk “SKMM Siasat Aduan Pengurangan Kelajuan Pakej unifi Berbanding Tawaran Awal.”

Menurut TM, pihaknya ingin meyakinkan semua pelanggan dan pihak berkepentingan berkenaan komitmen mereka terhadap hak dan perlindungan pengguna.

“Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluarkan penjelasan berkenaan perkara tersebut pada Jumaat,” katanya.

TM berkata pihaknya akan terus bersikap telus dalam memaklumkan kepada para pelanggan tentang perkara ini dan sedang memperkemas proses-proses supaya perkara sedemikian tidak berulang.

“Pada masa yang sama, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SKMM dalam proses siasatan mereka.

“Kami ingin memaklumkan bahawa semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan memandangkan pakej berkenaan baru sahaja diperkenalkan kurang daripada sebulan yang lepas iaitu 24 Ogos,” katanya.

Sehubungan itu, para pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.

TM akan menghubungi para pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos untuk memaklumkan kesilapan itu dan pilihan yang mereka ada bermula hari ini.

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kesemua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah dikemaskini dengan maklumat yang betul,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, hubungi wakil khidmat pelanggan TM di pusat panggilan 100, TMpoint di seluruh negara atau ejen-ejen maya melalui aplikasi myunifi.

Bernama

Tinggalkan komen anda