Tiada siapa mahu jadi CEO 1MDB, kata saksi


shadow

TIADA siapa mahu pegang jawatan tertinggi di 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana risikonya tinggi, bekas ketua pegawai eksekutifnya Mohd Hazem Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Saksi kesepuluh pendakwaan itu berkata rakan-rakan sekerjanya di 1MDB juga tidak berminat kerana tidak mahu menguruskan syarikat yang dipalit hutang dan memerlukan ‘bailout’ (bantuan).

Hazem,47, berkata beliau mengesyaki 1MDB tidak dapat menjelaskan bayaran pinjaman sejak September 2013, dan menyatakan hasrat untuk meletak jawatan pada 2014.

Bagaimanapun, pegawai khas kepada bekas perdana menteri Najib Razak, Azlin Alias, memintanya meletak jawatan selepas penyenaraian awam 1MDB Energy.

“Azlin selalu menasihatkan saya supaya bersabar dahulu, dan meletak jawatan selepas penyenaraian awam 1MDB Energy. Tetapi pada hujung Oktober 2014, iaitu selepas saya pulang dari mengerjakan haji, saya serius untuk meletak jawatan sebagai CEO 1MDB,” kata Hazem ketika membaca pernyataan saksinya di mahkamah hari ini.

“Saya minta Azlin beritahu Jho Low supaya carikan calon pengganti saya kerana pegawai bawahan saya tidak mahu menggantikan saya sebagai CEO, kerana akan terdedah kepada unsu-unsur politik.”

Hazem merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang menurutnya menguruskan 1MDB di belakang tabir.

Najib sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion dari 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang bagi jumlah yang sama.

Saksi itu seterusnya mengaku beliau tidak tahu mengenai pelaburan asing yang diuruskan Jho Low dan Penasihat Undang-Undang 1MDB Jasmine Loo.

“Sebagai CEO syarikat, saya sepatutnya mempunyai akses penuh dan kerana pembiayaan syarikat dikawal oleh pihak pengurusan.

“Tetapi saya hanya meneria arahan dari Jho Low supaya tidak kacau dana -dana ini,” katanya.

Hazem dibayar gaji RM93,000 sebulan ketika mula-mula menyertai 1MDB  pada 2013. Gaji terakhir beliau RM97,000 ketika meletak jawatan. Hazem juga menerima dua kali bonus sepanjang perkhidmatan, iaitu pada 2013 (bonus lima bulan) dan 2014 (bonus 10 bulan).

“Pada 5 Januari 2015, Arul Kanda (Kandasamy) melapor diri sebagai presiden 1MDB. Ini bermakna saya perlu melapor kepadanya sebagai CEO.

“Ketika inilah saya putuskan ini masa yang sesuai untuk saya meletak jawatan CEO kerana portfolio presiden sama seperti CEO,” kata Hazem

Tinggalkan komen anda