Shafie mohon maaf atas kenyataan Mohamaddin


shadow

SHAFIE Apdal hari ini memohon maaf atas kelancangan Mohamaddin Ketapi yang mendakwa pencerobohan Lahada Datu pada 2013 adalah sandiwara, tuduhan yang menaikkan kemarahan seluruh rakyat Sabah.

Permohonan maaf itu boleh dilihat sebagai langkah Shafie, yang juga presiden Warisan, untuk menenangkan anggota pasukan keselamatan di Sabah yang mengundi awal hari ini.

Dalam kenyataan itu, Shafie berkata kenyataan Mohamaddin itu adalah “spontan dan disalah erti” dan calon DUN Segama itu tidak pernah berniat menyinggung anggota keselamatan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan secara spontan itu disalah erti dan tidak berniat menghina perjuangan perajurit dan anggota keselamatan kita yang berkorban nyawa mempertahankan rakyat serta negara ini.

“Oleh itu, saya selaku presiden Warisan dan ketua menteri Sabah ingin memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan beliau (Mohamaddin),” katanya ketika kemarahan rakyat terhadap calon DUN Segama itu semakin memuncak.

Mohamaddin sebelum ini sudah meminta maaf tetapi kemarahan rakyat terhadap bekas menteri itu masih berterusan.

Semalam, Mohamaddin berkata kerajaan Barisan Nasional dahulu gagal mengukuhkan aset sempadan negara yang menyebabkan pencerobohan itu berlaku.

“Kenyataan saya semasa kempen di Kampung Wawasan telah disalah ertikan. Saya tidak pernah sama sekali memperkecil apatah lagi menghina anggota keselamatan kita yang terlah berjuang bermati-matian untuk menjaga kedaulatan negara daripada penceroboh,” katanya.

Tambah beliau, video yang tular itu seharusnya dimainkan sepenuhnya dan tidak hanya merujuk kepada pencerobohan di Lahad Datu semata-mata.

“Saya ingin memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat tersebut mengguris hati anggota-anggota keselamatan keseluruhannya,” katanya.

Shafie, hari ini, berkata selaku bekas timbalan menteri pertahanan beliau memahami perjuangan pasukan keselamatan menjaga keselamatan sempadan negara.

“Sebagai bekas timbalan menteri pertahanan, saya amat memahami keperitan terpaksa ditempuh anggota keselamatan dalam menjaga sempadan negara, terutama di pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas,” katanya.

Shafie juga mengumumkan peruntukan negeri sebanyak RM10 juta kepada pasukan barisan hadapan termasuk RM1 juta setiap satu untuk pasukan polis dan tentera, sesuatu tidak pernah dibuat negeri lain.

“Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan.” katanya.

Kenyataan Mohamaddin mengundang kecaman pelbagai pihak termasuklah menteri Perikatan Nasional Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin Ali. Bekas menteri luar Anifah Aman turut mendesak Mohamaddin meminta maaf.

Pencerobohan Lahad Datu adalah tragedi negara apabila 235 militan mendarat di Sabah menggunakan bot dari Pulau Siminul, Filipina.

Tragedi itu berakhir dengan 56 militan dibunuh, bersama-sama enam orang awam dan 10 anggota keselamatan terkorban. Baki militan ditangkap dan ada juga yang berjaya melarikan diri kembali ke Filipina. 

Tinggalkan komen anda