Selangor kembalikan kadar elaun petugas masjid , surau kepada asal


shadow

Kerajaan Selangor memutuskan untuk “mengembalikan” elaun petugas masjid dan surau di negeri itu kepada kadar asal, melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM3 juta, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya keputusan dibuat selepas mendengar taklimat Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop.

“Saya difahamkan elaun tambahan petugas masjid ini dibayar sejak 2003 menerusi hasil kutipan zakat LZS setiap tahun. Namun akibat pandemik COVID-19, jumlah kutipan zakat tahun ini mencatatkan penurunan drastik sebanyak 20 peratus

“Ia (penurunan jumlah kutipan) menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat dengan mengambil kira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat kepada golongan asnaf yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amirudin, berdasarkan taklimat yang diberikan JAIS dan LZS selain mengambil maklum akan keperluan petugas masjid serta surau, kerajaan negeri bersetuju menanggung pelarasan tersebut supaya kadar elaun golongan itu sama seperti sebelum ini.

Isu itu berbangkit susulan tular satu surat arahan dikeluarkan JAIS yang menyatakan elaun bulanan petugas masjid dan surau di Selangor akan dikurangkan daripada RM1,430 kepada RM880 sebulan mulai Mei lepas hingga Disember tahun ini.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda