PENGAMAL perubatan Cina (TCM) dan farmasi di Malaysia kini beralih daripada ubat daripada haiwan kepada ubat berdasarkan tumbuhan, kata pemain industri.
Tetapi mereka berkata ada sebahagian kecil yang terus menggunakan produk diperbuat daripada bahan larangan.
Satu lagi kebimbangan ialah jualan ubat tradisional diperbuat daripada bahan haiwan yang palsu, memandangkan perdagangan haiwan liar yang hampir pupus kini disekat, menyebabkan harganya lebih mahal.
Sejak sedekad lalu, industri TCM tempatan melarang penggunaan dan jualan produk berasaskan haiwan, terutama membabitkan spesies hampir pupus, kata Presiden Persekutuan Doktor Cina dan Persatuan Akupuntur Malaysia Ng Po Kok.
Antara sebab mereka berjaya beralih kepada produk berasaskan tumbuhan ialah kerana kesedaran dalam kalangan pengamal TCM bahawa Malaysia negara berbilang kaum, dan pelanggan mereka daripada pelbagai latar belakang berbeza.
“Pengamal perubatan ini bukan hanya merawat pesakit bangsa Cina, tetapi Melayu dan India. Jadi kami elak guna perubatan berasaskan haiwan dan kami gunakan penawar daripada herba untuk mendapatkan kesan yang sama,” kata Ng.
Katanya, beberapa kedai yang menjual anggota haiwan dilindungi, tidak banyak dan terjejas teruk akibat penguatkuasaan larangan terhadap produk berkenaan.
“Saya anggarkan kurang 10% kedai seperti itu. Dan ubat-ubatan berkenaan hanya diberikan jika diminta oleh pelanggan. Tambahan pula, haiwan ini sangat jarang ditemui, jadi harganya mahal,” katanya.
Setiausaha Agung Persatuan Peniaga Perubatan Cina Malaysia Choo Teik Liang berkata pihaknya menggesa ahli supaya tidak menjual ubat dan bahan berasaskan haiwan pada satu konvensyen, empat tahun lalu.
“Sejak itu, persatuan berterusan mengeluarkan peringatan tentang undang-undang baharu bagi memaklumkan bahawa perniagaan bahan sedemikian, adalah menyalahi undang-undang,” katanya.
Tinggalkan komen anda