Permohonan tangguh saman lucut hak terhadap keluarga MP Baling 8 Okt


shadow

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 28 Oktober untuk mendengar permohonan bagi menangguhkan sementara saman pelucutan hak berkaitan Tabung Haji membabitkan jumlah hampir RM16 juta terhadap keluarga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Hakim Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu setelah permohonan dibuat peguam keluarga sementara menunggu perbicaraan rasuah Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Perkara ini disahkan oleh peguam keluarga Fahmi Musikin ketika ditemui pihak media selepas prosiding petang ini.

“Saman pelucutan hampir RM16 juta terhadap keluarga Abdul Azeez adalah berkaitan dengan akaun simpanan Tabung Haji.

“Permohonan (oleh keluarga Abdul Azeez) bertujuan untuk menangguhkan keseluruhan prosiding (saman pelucutan) sementara menunggu pertuduhan utama (jenayah) terhadap Abdul Azeez di Mahkamah Sesyen.

“Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Oktober untuk mendengar permohonan penangguhan (oleh keluarga Abdul Azeez),” kata Fahmi.

Peguam itu menambah pihak pendakwaan memfailkan saman pelucutan hak terhadap keluarga Abdul Azeez pada Sept tahun lalu, sementara keluarga tersebut memohon penangguhan pada Januari tahun ini.

Menurut ecourtservices.kehakiman.gov.my, saman pelucutan itu menamakan lima individu dan sebuah syarikat sebagai responden.

Responden berkenaan adalah isteri Azeez, Khadijah Mohd Noor; anak pasangan itu Mohamed Khairul Azman, Mohamed Khairul Anwar, Khaleeda Azeera dan Khaleeda Azwa  dan syarikat Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.

Timbalan pendakwa raya Nik Haslinie Hashim mewakili pendakwaan semasa prosiding di hadapan hakim petang ini.

Pada 16 Jan tahun lalu Abdul Azeez didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta yang melibatkan projek jalan raya di Perak dan Kedah dan sembilan tuduhan pengubahan wang haram melibatkan lebih daripada RM140 juta.

Pada hari yang sama, abangnya Abdul Latif didakwa atas dua tuduhan kerana bersubahat dengan Abdul Azeez untuk melakukan kesalahan tersebut.

Perbicaraan bagi dua adik beradik itu di Mahkamah Sesyen bermula pada 19 Ogos tahun ini dan masih berlangsung.

Tinggalkan komen anda