Peraturan seragam tak sesuai, kata pengendali Airbnb



PENGENDALI hotel menunggu pengumuman kerajaan seterusnya untuk menyeragamkan syarat dan peraturan antara sektor itu dan perkhidmatan penginapan lain termasuklah Airbnb bertujuan mewujudkan persaingan lebih adil.

Bagaimanapun, pemain platform perkongsian penginapan pula meluahkan kebimbangan kerana mereka menawarkan perkhidmatan penginapan yang berbeza daripada hotel dan merasakan satu set peraturan seragam mungkin tidak sesuai dikuatkuasa untuk semua pemain industri.

Rancangan Putrajaya untuk menyeragamkan peraturan dan syarat dibuat susulan rugutan pengendali hotel bahawa pesaing mereka yang menawarkan khidmat perkongsian penginapan mewujudkan persaingan tidak sihat dengan tawaran lebih murah tanpa pengalaman sektor perkhidmatan perhotelan.

Mereka juga berkata platform perkongsian penginapan seperti Airbnb juga tidak diselia oleh peraturan, perlesenan dan percukaian sama seperti dikenakan ke atas hotel.

Susulan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin minggu lepas berkata yang penyeragaman syarat dan peraturan antara sektor perhotelan dan penyedia penginapan alternatif akan dimuktamadkan pada hujung tahun ini.

Beberapa pengendali Airbnb bagaimanapun berkata tidak adil mengenakan peraturan sama antara mereka dan hotel.

Grace How Mun Kuan, pengasas Projek Uchi, sebuah hotel fusion di SS12, Petaling Jaya, Selangor berkata wabak Covid-19 menyebabkan wujud situasi hampir mustahil untuk mengenakan set peraturan standard ke atas semua penyedia perkhidmatan penginapan.

“Dengan pandemik yang berlaku sekarang, semua orang terjejas termasuklah penyedia Airbnb. Tidak ada isu persaingan adil sekiranya industri tidak aktif.

“Peraturan dan cukai (baharu) juga tidak relevan sekarang dan tidak sesuai memandangkan situasi yang berlaku,” katanya.

Hotel mempunyai 'standard bintang' berbanding perkongsian penginapan lain yang menawarkan pengalaman berbeza.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.
Hotel mempunyai ‘standard bintang’ berbanding perkongsian penginapan lain yang menawarkan pengalaman berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

Berbanding mendesak pengendali Airbnb “bersaing secara adil” dan mengurangkan aliran masuk pelancong ke dalam negara, How mendesak pengendali hotel berusaha lebih keras dengan melakukan kajian mendalam tentang trend kecenderungan pelancong berkaitan penginapan mereka.

“Hotel ada standard dan jangkaan ‘bintang’ tetapi Airbnb adalah untuk penerokaan dan pengalaman. Kedua-duanya adalah pilihan berharga untuk pelanggan,” katanya.

How, 31, menambah yang beliau sedar wujud kumpulan kecil pengenali Airbnb yang mampu bersaing dengan hotel.

“Saya tahu tentang pemain utama Airbnb di Malaysia yang mana mereka mampu tandatangani perjanjian sewa untuk 10-20 unit di tengah-tengah pusat bandar dan upah beberapa pembantu rumah untuk membersihkannya.

“Pemain utama ini beroperasi dalam skala besar dan tidak mengamalkan ‘hosting culture’ dan melanggar kontrak sewaan apabila mereka ‘sublet’ jangka pendek kepada pelancong dan menganggu kejiranan kediamaan sedia ada.”

“Adakah anda menyamakan pemain utama ini dengan pemilik rumah penginapan atau asrama untuk ‘backpacker’?”

How berkata kerajaan perlu memperincikan jenis perniagaan penginapan yang mengacau sektor perhotelan berbanding meletakkan semuanya di bawah satu kategori.

Wujud pelbagai kategori pelancong dan Putrajaya perlu mengambil kira hal ini sebelum penyeragaman peraturan dan syarat perhotelan dan platform perkongsian penginapan lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.
Wujud pelbagai kategori pelancong dan Putrajaya perlu mengambil kira hal ini sebelum penyeragaman peraturan dan syarat perhotelan dan platform perkongsian penginapan lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2020.

Bagi Erik Yean Yong Soon, 33, pula yang menguruskan 30 buah rumah inap di Mesahill Nilai melalui Agoda, Booking.com, Expedia dan lain-lain, pendirian dan pengalamannya sedikit berbeza.

Selepas mendapati sukar mencari penyewa untuk apartmen studionya di Seri Kembangan, beliau menceburi perniagaan perkongsian rumah bagi membantunya membayar pinjaman perumahan.

Kemudiannya, beliau menyedari dengan menawarkan perkhidmatan rumah inap, beliau boleh menjana pendapatan sehingga tiga kali ganda purata sewa bulanan menyebabkan beliau tidak lagi menyediakan perkhidmataan sewa jangka panjang.

Yean mengubah rumahnya sendiri menjadi rumah inap selama lima tahun sebelum melakukannya untuk jirannya di Nilai.

“Bila saya beli satu lagi kondominium di Mesahill, Nilai, saya tawarkan khidmat kepada jiran saya bagi membantu mereka membayar pinjaman rumah dan mendapat pendapatan tambahan.

“Memanglah tidak adil kerana sebagai pengendali rumah inap kami tidak perlu keluarkan sebarang modal (jika dibuat secara perkongsian dengan pemilik lain).

“Jika rumah saya sendiri ditukar menjadi rumah inap, modalnya tidak sebanyak hotel. Kementerian boleh buat peraturan menurut pertimbangan mereka yang sebaiknya, tetapi ia tidaklah boleh sampai menyamakan persaingan.

“Ada sebab mengapa ekonomi perkongsian adalah ekonomi masa depan,” katanya.

Tinggalkan komen anda