Penjara mandatori terhadap pengganas cemar air


shadow

Hukuman lebih keras wajar dikenakan terhadap dalang yang menyebabkan pencemaran sistem bekalan air kerana perbuatan sedemikian boleh dianggap sebagai tindakan keganasan.

Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng, berkata pendekatan punitif itu bagaimanapun memerlukan pindaan terhadap beberapa perundangan, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

“Pencemaran air boleh dianggap sebagai tindakan keganasan kerana hanya dengan menjejaskan sumber air atau infrastruktur seperti sistem agihan dan paip yang boleh mengundang masalah bekalan air.

“Situasi ini kemudian merencatkan urusan kehidupan seharian masyarakat kerana gagal mendapat bekalan air, selain mencetuskan kerugian kepada sektor swasta.

“Bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang, Seksyen 121(1)(b) dan (c) WSIA 2006 yang ketika ini memberi pilihan kepada hakim sama ada untuk mengenakan hukuman penjara atau denda, sepatutnya dipinda.

“Pindaan sewajarnya memperuntukkan hukuman penjara mandatori, sekurang-kurangnya tiga tahun dan denda minimum RM500,000, tetapi tidak melebihi kadar yang ditentukan Parlimen.

“Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang ketika ini mengenakan denda kepada dalang insiden pencemaran air, pada kadar antara RM2,000 hingga RM5,000 serta RM500,000 sekiranya mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar juga wajar dipinda supaya memperuntukkan hukuman penjara mandatori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kesal dengan insiden pencemaran air semalam yang juga kali ketujuh sejak Disember 2019, Kwok Xheng berkata langkah penguatkuasaan dan pemantauan di ‘lokasi panas’ harus ditingkatkan.

Selain itu, katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor perlu mengambil tindakan lebih tegas dengan menutup kilang yang beroperasi berdekatan dengan tebing sungai.

“Operator kilang, termasuk pemilik dan pengarahnya yang bertanggungjawab terhadap pembuangan sisa industri sepatutnya ditahan mengikut undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ini penting dalam usaha kita mengekang isu berkaitan keselamatan dalam negeri seperti cubaan sabotaj, keganasan dan menjejaskan keharmonian awam yang tercetus daripada insiden pencemaran terhadap sistem bekalan air.

“Insiden kali ini paling teruk kerana operasi kesemua empat loji rawatan terpaksa dihentikan, sekali gus menjejaskan 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Perumahan, hospital, sekolah dan perniagaan tidak lagi boleh menghadapi gangguan bekalan air seperti ini yang berlaku tanpa sebarang makluman awam,” katanya.

Tinggalkan komen anda