Pencemaran sungai: Empat beradik pemilik kilang ditahan polis


shadow

Polis menahan empat lelaki pemilik kilang yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang.

Ketua Polis Selangor Noor Azam Jamaludin berkata kesemua suspek berumur lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditahan dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam tadi.

“Tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di balai polis di daerah Gombak.

“Polis akan membuat permohonan reman di Mahkamah Selayang untuk siasatan lanjut pagi ini,” katanya kepada Bernama.

Noor Azam berkata, siasatan awal mendapati kilang berkenaan diusahakan oleh empat suspek yang juga adik-beradik selepas bapa mereka meninggal dunia.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata sebuah kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau telah disita dan dikompaun serta-merta, selain akan dikenakan tindakan lebih tegas.

Jelasnya, kilang berkenaan disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Ia menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lepas.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang membabitkan hampir 1.2 juta akaun pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Khamis selepas empat LRA dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau berkenaan.

– Bernama

Tinggalkan komen anda