Pemeriksaan rawak di kedai emas, lindungi hak pengguna


shadow

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemeriksaan secara rawak di kedai emas seluruh negara bagi melindungi hak pengguna.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu diambil kerana pihaknya menerima maklumat ada peniaga emas tidak bertanggungjawab, menipu pembeli ketika membuat timbangan berikutan harga emas yang tinggi di pasaran.

Katanya, penipuan emas itu dikesan melalui pemeriksaan sebuah syarikat konsesi kerajaan mengendalikan kerja tentu sah alat timbang dan sukat yang menjalankan ujian secara rawak terhadap barang kemas dibeli.

“Antara taktik dikesan adalah dengan memasukkan logam lain di dalam barangan kemas dijual dengan tujuan menaikkan lagi berat barangan berkenaan.

“Dalam emas itu, dia (peniaga) letak tungsten iaitu satu logam yang ketumpatannya lebih kurang daripada emas. Tungsten ini ketumpatanya adalah 18, manakala emas 21, jadi tungsten diletak dengan membalut dalam emas.

“Sebab itu, kita akan buat pemeriksaan secara rawak dan beberapa contoh barangan kemas akan diuji di makmal bagi memastikan tiada unsur lain selain emas dimasukkan di dalam barangan kemas itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jualan Malaysia

(PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) peringkat negeri Terengganu di KTCC Mall, di sini semalam.

Rosol berkata, pengguna dinasihatkan berhati-hati ketika membeli barangan kemas bagi mengelak ditipu.

Katanya, peniaga yang melakukan kesalahan menipu di dalam timbangan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Sehingga 31 Ogos tahun ini, KPDNHEP sudah mengeluarkan sebanyak 2, 900 kompaun kepada peniaga yang menipu semasa timbangan dan membabitkan rampasan bernilai RM1,823,983 dengan nilai kompaun sebanyak RM416,350,” katanya.

Tinggalkan komen anda