Orang ramai datang, tetapi tak banyak berbelanja


shadow

SEKILAS pandang, kompleks beli belah kini mula dipenuhi semula pada hujung minggu sama seperti hari-hari sebelum wabak Covid-19 menyebabkan aktiviti ekonomi terhenti pada pertengahan Mac lepas.

Kumpulan industri peruncitan juga memberitahu The Malaysian Insight yang orang ramai juga sudah mula membanjiri kawasan tarikan pelancong seperti Melaka, Cameron Highlands dan Langkawi.

Tetapi, peruncit berkata disebalik gambaran kemeriahan ini adalah realiti sebenar- walaupun rakyat Malaysia sudah mula keluar membeli belah, mereka kurang berbelanja berbanding sebelum wabak melanda atau tempoh sama tahun lepas.

Penamatan moratorium pinjaman bank pada 30 September ini juga dijangka memberi kesan besar kepada peruncit kecil, kata Retail Group Malaysia.

Pemain besar industri berkemungkinan besar mendapat bantuan bank untuk penstrukturan semula pinjaman tetapi pemain kecil dengan kurang empat cawangan bakal berdepan kesukaran sokongan kewangan, kata Pengarah Urusan Retail Group Malaysia Tan Hai Hsin.

“Kebanyakan orang Malaysia sudah mula berkunjung ke kompleks beli belah. Kompleks beli belah terkenal penuh sesak pada hujung minggu dan cuti umum,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“Kebanyakan kedai F&B sudah mula dapat pelanggan balik. Walaupun ia masih kurang disebabkan langkah penjarakan sosial.

“Tren membeli belah lebih kurang sebelum zaman Covid-19. Bagaimanapun, kuantiti kurang disebabkan kuasa membeli yang berkurangan.

“Kebanyakan (kedai) memang lebih banyak berniaga berbanding ketika tempoh kawalan pergerakan (PKP). Tetapi belum sampai kepada tahap 2019. Kebanyakannya adalah 50% daripada tahap jualan pada 2019.

“Untuk peruncit, pelanjutan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) sehingga hujung tahun ini akan mempunyai kesan sama seperti PKPP semasa.”

Gary Chua, yang menyelia unit makanan minuman rantaian peruncitan, berkata ramai pengendali kedai mengecilkan skala operasi kerana situasi yang kurang memberangsangkan.

“Umumnya semua masih lagi susah. Tetapi, ada juga yang masih kukuh atau sedang mempertimbangkan pengambilalihan (kedai),” kata Chua yang juga bekas presiden Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia.

Chua berkata jualan di kedai makan diharap meningkat pada suku terakhir tahun ini pada musim Krismas dan cuti sekolah dengan syarat tidak ada gelombang kedua Covid-19 berlaku yang memaksa orang Malaysia duduk di rumah.

Operator makanan juga berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah bantuan suntikan perbelanjaan untuk perniagaan dan pelanggan merangsang permintaan dalam negara, kata Chua lagi. 

Tinggalkan komen anda