PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menuntut penjelasan daripada Kementerian Kesihatan berhubung mengapa Malaysia tidak menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 global (Covax).
Kenyataan itu dibuat selepas laporan laman web kesihatan Code Blue yang memetik Menteri Kesihatan Adham Baba sebagai berkata Malaysia masih “berbincang” dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung pelan akses vaksin Covid-19.
Tarikh akhir penyertaan pelan akses vaksin global itu adalah hari ini dan sebanyak 172 negara telah menyertainya.
Presiden MMA Dr N Ganabaskaran dalam satu kenyataan hari ini berkata, kementerian bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat sebab mengapa ia tidak menyertai Covax.
Persatuan itu percaya pelan Covax boleh memberikan pilihan tambahan yang akan menjamin akses kepada vaksin Covid-19, walaupun Malaysia ada rundingan dua halanya sendiri untuk vaksin.
Pelan Covax yang turut diketuai oleh Pakatan Vaksin Global (GAVI), WHO dan Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI).
Ia merupakan platform yang ditubuhkan bagi menyokong penyelidikan dan pengeluaran pelbagai calon vaksin Covid-19.
Ini adalah sistem perolehan gabungan yang bertujuan untuk memberikan akses kepada vaksin kepada negara-negara peserta dengan adil dan saksama dengan mengumpulkan daya beli dari ekonomi-ekonomi ini.
Covax bertujuan untuk memberikan dua bilion dos vaksin yang selamat dan berkesan pada akhir 2021, yang akan mencukupi untuk melindungi masyarakat dan petugas barisan hadapan.
“Kami menggesa KKM agar lebih telus berhubung rancangannya bagi mendapatkan vaksin untuk negara. Rakyat berhak untuk tahu dan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh negara,” kata Dr Ganabaskaran.
“Kami faham mungkin ada isu keselamatan mengenai pembangunan vaksin yang dipercepatkan.
“Tetapi sebarang vaksin vaksin yang berpotensi akan dinilai melalui pemeriksaan ketat KKm untuk memastikan keberkesanan dan keselamatannya sebelum ia diluluskan dan diisytihar selamat untuk penduduk.”
Ganabaskaran berkata, rakyat perlu dimaklumkan sekiranya kementerian memerlukan masa bagi memutuskan penyertaan itu.
“Kementerian Kesihatan perlu memberi jawapan sekarang atau terpaksa jelaskan kepada rakyat mengapa ia antara yang terakhir untuk mendapatkan vaksin,” katanya.
Setakat ini, Covid-19 menjangkiti lebih 10,000 rakyat Malaysia dan meragut 128 nyawa. Di seluruh dunia lebih 30 juta dijangkiti dan 950,000 maut.
Tinggalkan komen anda