Kompaun RM1 juta bagi kesalahan cemar sungai, kata MB Selangor


shadow

SELANGOR akan menaikkan kadar kompaun bagi pencemaran sungai dari RM500,000 ke RM1 juta,  melalui pindaan enakmen pada bulan depan, kata Menteri Besar Amiruddin Shari.

Pindaan enakmen di bawah kuasa Lembaga Urus Air Selangor Luas itu bagi mengatasi pencemaran yang menyebabkan bekalan kepada pengguna terputus seperti yang berlaku pada masa ini.

“Enakmen ini perlu dibawa  ke sidang Dun yang akan datang pada akhir Oktober dan November. Kita akan bawakan enakmen ini untuk disegerakan proses ubah enakmen itu.

 “Perkara ini kita sudah rancang setahun dua lepas kita kaji aspek itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pengurusan Air Selangor, Kuala Lumpur.

Amiruddin juga berharap kerajaan persekutuan segera melaksanakan pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Kualiti Alam Sekeliling yang boleh mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah.

“Kita harap kementerian pun akan pinda akta juga dengan denda yang tinggi ini diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri bagi memastikan pencemaran yang menyebabkan sejuta pengguna terputus bekalan waktu ini tidak berulang lagi.

Kilang yang disyaki terlibat dalam gangguan bekalan air terbaru ke Lembah Klang dikenal pasti sebagai kilang penyelenggaraan mesin berat milik Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd.

Siasatan mendapati sisa buangan dan minyak jentera terpakai dari kilang tidak disimpan dengan betul tetapi dibiarkan mengalir masuk ke sungai.

Kilang yang sama juga didenda pernah RM60,000 pada awal tahun ini kerana kesalahan pencemaran namun tidak dikenakan tindakan lain kerana tiada bukti mencukupi.

Polis malam tadi menahan empat beradik yang merupakan pemilik kilang dan akan mendapatkan perintah reman ke atas mereka hari ini.

Lebih 1.2 juta pengguna tiada bekalan air sejak Khamis di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pencemaran itu berlaku di Sungai Gong di Rawang, yang mengalir ke Sungai Selangor. Ia menjadi sumber untuk empat loji rawatan yang membekalkan air kepada pengguna Lembah Klang. 

Tinggalkan komen anda