Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tidak akan membuka sempadan negara secara terburu-buru bagi mengelakkan negara dilanda gelombang baharu pandemik COVID-19.
Sebaliknya, Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan memperketatkan kawalan pintu sempadan negara, khususnya bagi menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berisiko mencetuskan penularan baharu penyakit itu.
Jelasnya, situasi beberapa negara lain yang ada antaranya masih bertungkus-lumus mengawal wabak itu atau berdepan gelombang baharu, berpotensi berlaku di Malaysia jika rakyat leka dan memandang remeh penularan di peringkat global.
“Walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran, khususnya kepada mereka yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak mengancam nyawa ini.
“Kita perlu mengimbangi antara keperluan untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia. Justeru, kerajaan tidak akan terburu-buru membuka sempadan negara.
“Malah kawalan sempadan negara akan terus diperketatkan, termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan (PAT),” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung, malam ini.
Tinggalkan komen anda