Keputusan permohonan Azhar, Azalina batal saman Dr Mahathir 10 November


shadow

MAHKAMAH Tinggi menetapkan 10 November ini bagi membuat keputusan terhadap permohonan Azhar Azizan Harun dan Azalina Othman Said serta dua lagi untuk membatalkan saman bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad serta empat individu lain berhubung pelantikan Azhar dan Azalina, masing-masing sebagai speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan yang panjang lebar daripada kedua-dua pihak hari ini.

Pada 23 Julai lepas, Dr Mahathir dan anaknya yang juga bekas menteri besar Kedah Mukhriz serta bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula bagi mencabar pelantikan Azhar dan Azalina.

Lima plaintif terbabit turut menamakan Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin sebagai defendan ketiga dan keempat masing-masing.

Pada prosiding hari ini, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Azhar dan Rashid menghujahkan bahawa anak guamnya bertindak dalam bidang kuasa yang diperuntukkan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

Beliau juga berkata kesahan proses pemilihan Azhar dan Azalina di Dewan Rakyat tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah menurut Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan.

Amer Hamzah berkata pelantikan defendan pertama  (Azhar) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan defendan ketiga (Mohd Rashid) telah bertindak berdasarkan kuasa yang ada padanya dan beliau berhak melaksanakan semua kuasa Speaker menurut Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

“Sehubungan itu, semua keputusan dan ketetapan yang dibuat oleh defendan ketiga semasa persidangan Parlimen adalah muktamad dan tidak terbuka kepada rayuan menurut Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat  Dewan Rakyat 43 dan 99.

“Semua keputusan yang dibuat oleh defendan pertama dan ketiga tidak boleh dipersoalkan dan saman pemula itu jelas tidak boleh diteruskan,” katanya. 

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili kesemua plaintif pula berkata Perkara 63 (1) bukan sekatan muktamad dan mahkamah masih mempunyai bidang kuasa untuk  menghakimi keputusan dan ketetapan Dewan Rakyat yang dibuat tanpa bidang kuasa, dan/atau keputusan sedemikian tidak sah, dan apabila Dewan Rakyat melangkaui had perlembagaan atau undang-undang.  

Beliau juga berkata Dewan Rakyat tidak mempunyai bidang kuasa atau kuasa untuk melantik Azhar dan Azalina sebagai speaker dan timbalan speaker kerana plaintif dan ahli Parlimen yang lain dihalang daripada menamakan calon mereka.

“Ada dua calon masing-masing bagi jawatan berkenaan pada 13 Julai, justeru perbahasan dan pengundian perlu dilaksanakan namun tiada perbahasan atau pengundian diadakan dalam kes ini. Memandangkan Dewan Rakyat tidak ada bidang kuasa atau kuasa untuk menjalankan proses yang berlangsung pada 13 Julai, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan,” katanya, menambah sehubungan itu mahkamah harus menolak permohonan defendan.

Dalam saman pemula mereka, kelima-lima plaintif memohon perisytiharan bahawa jawatan Speaker Dewan Rakyat kosong sejak 13 Julai dan pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah kerana tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 3, 4, 6 dan 47 dan/atau kedaulatan undang-undang.

Mereka juga menuntut perisytiharan bahawa tempoh 14 hari bagi setiap ahli menamakan calon-calon untuk jawatan speaker dan timbalan speaker bermula dari tarikh usul mengosongkan jawatan-jawatan itu diluluskan.  

Mereka juga memohon perintah agar  Yang Dipertua dan Timbalannya sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses-proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menjadikan satu proses pelantikan yang sah.

Antara alasan yang dikemukakan dalam saman itu ialah tindakan defendan ketiga (Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada satu calon bagi tujuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, adalah tidak sah.

Ini kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga (Rashid) dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua Ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat  dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyhurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat  dan Timbalan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan  dan/atau Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah. – Bernama

Tinggalkan komen anda