Kebun Musang King haram ribuan ekar wujud kerana rasuah, kata NGO


shadow

PENEROKAAN tanah haram untuk tanaman durian di Raub dan Bentong di Pahang didalangi sindiket yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa, dakwa aktivis alam sekitar.

Presiden Perikatan Pencinta Alam Malaysia (Alam) Khaidir Ahmad berkata oleh sebab itulah peneroka dan pekebun durian terbabit tidak dikenakan tindakan sejak sekian lama.

Beliau juga percaya rasuah berlaku kerana sindiket berkenaan mampu memanipulasi dokumen permohonan tanah bagi menghalalkan aktiviti mereka.

“Aktiviti ini berpunca dari rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa. Jadi kena hentikan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kena masuk (siasat), apabila kita bagi maklumat mereka kena proaktif, ambil tindakan,” katanya.

Khaidir berkata kunjungannya ke tapak tanah haram tersebut mendapati sindiket yang terlibat dengan peneroka haram itu dapat membawa jentera berat ke tanah hutan simpan.

Sedangkan, setiap pengunjung ke hutan simpan itu perlu mendapatkan permit dengan bayaran RM30 dan akan dianggap menceroboh sekiranya kebenaran itu tidak diperolehi.

Katanya, sindiket berkenaan dapat membawa masuk jentera berat ke dalam hutan untuk menebang pokok balak dan membersihkan kawasan tanah tersebut.

Oleh itu beliau menganggap kerajaan Pahang tidak bertindak tegas ke atas peneroka terbabit dan hanya mengambil tindakan secara terpilih.

“Macam mana kerajaan Pahang ini tak tegas, saya tak faham. Tindakan pula terpilih. Ada yang ditangkap ada yang tidak ada tindakan,” katanya.

Khaidir menegaskan beliau hanya akan mendedahkan lokasi dan pihak terlibat kepada Wan Rosdy Wan Ismail jika menteri besar itu sanggup turun padang untuk menyaksikan sendiri bukti itu.

“Saya tidak akan mendedahkan lokasi tanah haram berkenaan kepada sesiapa kecuali kepada menteri besar Pahang jika beliau sanggup turun padang bersama saya meninjau sendiri kawasan berkenaan dan bertindak tegas membanteras perkara ini daripada terus berleluasa,” katanya.

Kerugian kepada rakyat

Katanya, kerajaan perlu menunjukkan sikap tegas untuk menghentikan kegiatan haram berkenaan kerana kes itu menyebabkan rakyat kerugian untuk jangka panjang.

Beliau tidak menolak andaian bahawa kes itu mungkin tidak disedari selama ini kerana tidak dilaporkan oleh pegawai kerajaan.

“Kerajaan dahulu biarkan sahaja. Kadang-kala pihak atasan tak tahu aktiviti itu berlaku kerana anak buah di bawah ini yang buat kerja. Ini akan berikan implikasi kepada kerajaan juga.

“Tetapi kalau pejabat menteri besar tidak sedar aktiviti ini berlaku, masalah besar,” katanya.

Beliau kesal kerana kerajaan tidak mampu mengutip hasil sedangkan tanaman durian dari jenis Musang King di atas tanah haram itu memberikan pulangan yang besar.

Dakwanya, ini kerana tiada mekanisme khusus yang membolehkan kerajaan mengenakan cukai ke atas penanam durian Musang King di atas tanah haram.

Dianggarkan setiap pokok durian Musang King mampu mengeluarkan hasil kira-kira RM10,000 setahun selepas mula berbuah.

Setiap ekar tanah pula mampu memuatkan antara 40 hingga 45 pokok menjadikan secara purata penanam durian Musang King mampu memperolehi pendapatan RM450,000 setahun.

Peneroka yang menceroboh tanah haram pula katanya dianggarkan mempunyai sekitar 20 ekar hingga 40 ekar tanah setiap seorang.

“Kerajaan tak boleh kutip hasil daripada mereka. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pun tak boleh kenakan cukai kepada pekebun sedangkan mereka dapat hingga jutaan ringgit setahun.

“Ini kerana dalam rekod mereka tiada tanah, tapi sebenarnya mereka ada puluhan ekar tanah haram yang keluarkan hasil beribu tan durian Musang King, tetapi tiada dokumentasi,” kata Khaidir.

Khaidir juga pernah mencuba nasib untuk mengetengahkan isu alam sekitar dengan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Temerloh atas tiket Bebas, namun tewas dan hanya memperolehi 178 undi.

Di Raub, SPRM sudahpun merampas dokumen dari pejabat tanah dan pejabat hutan melibatkan kes penerokaan haram tanah untuk tanaman durian.

Seramai 23 orang pekebun di daerah itu juga sudahpun dipanggil untuk memberi keterangan dalam siasatan.

Seramai 118 pekebun mendapat perintah sementara pada 28 Ogos untuk menggantung arahan pengosongan tanah dan berusaha mendapatkan geran ke atas tanah haram itu.

Mereka menubuhkan Perikatan Selamatkan Musang King (Samka) yang antara lain digerakkan aktivis DAP untuk mendapatkan pajakan ke atas 2,168 hektar tanah.

Samka antara lain memberi alasan peneroka tanah haram itu memberi keuntungan kepada negara dengan eksport durian Musang King sejak bertahun-tahun lamanya.

Peneroka tersebut kini berlaga dengan syarikat Royal Pahang Durian yang ditubuhkan bagi mengekang pembukaan tanah haram untuk penanaman durian.

Royal Pahang Durian satu syarikat usaha sama melibatkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang.  

Menurut kerajaan Pahang, negeri itu kehilangan hasil cukai tanah kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun lalu daripada penerokaan hutan simpan terbabit.

Tinggalkan komen anda