Kanak-kanak penderita dalam senyap Covid-19, kata pakar


shadow

KANAK-KANAK bukanlah wajah pandemik Covid-19 tetapi berisiko menjadi golongan mangsa terbesar kerana koronavirus turut memberi kesan kepada kehidupan mereka, kata pakar.

Mereka berkata walaupun kanak-kanak tidak menjadi korban langsung koronavirus, mereka masih berkemungkinan menderita dari segi mental selepas terkurung di rumah, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di sekolah, atau ada insan dicintai dijangkiti Covid-19.

Selain itu, anak-anak menanggung risiko terdedah kepada keganasan rumah tangga, yang meningkat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada Mac.

Pakar berkata mereka mampu menyerap kerisauan penjaga berhubung masa depan dan mereka yang mempunyai keluarga terkena wabak, mungkin terdedah kepada penyakit fizikal.

Pakar juga menyuarakan kebimbangan mengenai kanak-kanak yang memang mempunyai masalah kesihatan mental.

Pakar psikologi Dr Andrew Mohanraj memberitahu The Malaysian Insight kesan penularan wabak pada kanak-kanak sering diabaikan.

“Hakikatnya, kesejahteraan ibu bapa dan anak-anak terjejas dengan serius semasa pandemik Covid-19.

“Anak-anak juga mungkin terlalu leka dengan ketidakpastian masa depan dan mungkin juga terdedah kepada peningkatan keganasan, ancaman penyakit fizikal terutama di rumah yang paling terkesan dengan kesulitan berkaitan krisis,” kata presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA).

Beliau berkata kanak-kanak mungkin mempamerkan tingkah laku sukar dikawal, meragam, kebosanan dan tekanan.

“Dalam beberapa kes, ia boleh menjadi ada kerisauan melampau dan bahkan kemurungan. Dalam keadaan teruk ia juga boleh menyebabkan trauma psikologi jangka panjang,” katanya.

Mohanraj berkata, sokongan sosial dan campur tangan pihak lain untuk menangani keperluan ekonomi dan kesihatan mental keluarga sangat penting pada masa ini.

Beliau berkata kerajaan sudah membantu mengurangkan keadaan dengan sokongan kewangan langsung dan tidak langsung yang diberikan kepada keluarga.

“Ini memberi kesan positif bagi mencegah dekompensasi kesihatan mental yang signifikan dalam keluarga,” katanya.

Beliau berkata dengan memastikan sokongan mencukupi, ibu bapa yang mengharungi tempoh sukar dapat menjamin kesejahteraan mental anak.

Beliau menambah kerajaan juga boleh mempromosikan pembelajaran tanpa gangguan bagi memastikan interaksi mencukupi antara pelajar dan rakan sebaya untuk mengekalkan perkembangan sosial normal anak.

“Langkah menggalakkan anak-anak aktif secara fizikal sambil mengekalkan standard keselamatan masih menjadi cabaran,” kata Mohanraj.

“Kerajaan perlu memastikan sokongan kesihatan mental mencukupi dalam sistem sekolah untuk mengesan tanda awal dekompensasi kesihatan mental pada anak-anak atau pengabaian ibu bapa,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda