Isteri MB Selangor minta maaf, lori Air Selangor bukan untuk kolam renang


shadow

ISTERI Menteri Besar Selangor Masdiana Muhamad meminta maaf selepas beberapa gambar yang dikongsinya di media sosial semalam, ketika penduduk di Lembah Klang terputus bekalan air, mencetuskan cemuhan ramai.

Beliau semalam memuat naik gambar lori tangki air Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor dan satu gambar lain menunjukkan ahli keluarganya mandi di kolam renang di kediaman itu.

Menurut Masdiana, bekalan air yang dihantar ke kediaman menteri besar semalam bukan untuk kolam renang.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau mengakui kesilapannya memuat naik gambar itu yang menimbulkan salah tanggap terhadap beliau dan keluarga ketika rakyat berdepan masalah gangguan air.

“Saya menyedari kekhilafan saya di pihak saya memuat naik gambar tersebut yang menimbulkan banyak tafsiran.

Tindakan Masdiana memuat naik gambar lori air Selangor mendapat perhatian warga maya ketika gangguan air melanda negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2020.
Tindakan Masdiana memuat naik gambar lori air Selangor mendapat perhatian warga maya ketika gangguan air melanda negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2020.

“Dakwaan yang kata lori itu dihantar untuk memenuhkan kolam renang adalah tidak benar sama sekali.

“Saya memohon maaf sekiranya tindakan tersebut mendatangkan sebarang bentuk salah tafsir dan mengguris perasaan mana-mana pihak,” katanya.

Foto yang dimuat naik Masdiana semalam mencetuskan kemarahan umum ketika majoriti penduduk Lembang Klanh berbaris panjang dan berpanas mendapatkan bekalan air.

Jelasnya tindakan memuat naik gambar tersebut bukan kerana ingin bermegah tapi semata-mata mahu menghargai jasa petugas barisan hadapan 

“Sebagai seorang ibu saya cuma ingin menyampaikan rasa berterima kasih kepada petugas barisan hadapan Air Selangor yang bertungkus lumus sejak beberapa hari lepas, bukannya niat untuk bermegah-megah.

Lebih 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang mula mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada Khamis apabila empat loji rawatan air terpaksa ditutup kerana pencemaran sungai berpunca daripada kilang di Sungai Gong, Rawang.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air akan mula menerima semula bekalan secepat-cepatnya hari ini, tetapi kerajaan negeri akan mengambil masa dua hari lagi untuk 70% bekalan air pulih sepenuhnya.

Setakat tengah hari ini, Air Selangor berkata hampir separuh kawasan terjejas pulih sepenuhnya sementara yang lain sedang dipulihkan secara berperingkat.

Polis sedang menyiasat insiden pencemaran tersebut dan menahan empat individu untuk siasatan. Pada masa sama, kerajaan Selangor mengarahkan kilang berkenaan disita dan ditutup sementara siasatan.

Tinggalkan komen anda