HANYA beberapa bulan selepas dibersihkan daripada jalanan di Kuala Lumpur, gelandangan kini kembali.
Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan menyediakan tempat tinggal kepada gelandangan bagi memastikan mereka kekal selamat daripada wabak Covid-19.
Tujuh tempat perlindungan disediakan DBKL dalam usaha untuk mengekang penularan wabak itu, yang mana ia menempatkan hampir 700 orang gelandangan.
Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui Annuar Musa dan DBKL juga melihat untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan itu bagi memastikan Kuala Lumpur bebas daripada gelandangan, dengan sebahagian daripadanya diserap masuk bekerja dengan dewan bandaraya manakala yang lain bekerja di beberapa buah kilang.
Beberapa syarikat turut serta sebagai sebahagian daripada program persediaan kerjaya untuk gelandangan termasuk Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd, Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd.
Bagaimanapun sebaik sahaja PKP dilonggarkan, gelandangan kembali kepada tabiat asal mereka.
Ketika ditemu bual, mereka menyatakan lebih selesa dan sudah biasa dengan kehidupan lama.
Ma Son Hin, 46, merupakan salah seorang yang turut ditempatkan di tempat perlindungan sementara dan kemudian ditawarkan pekerjaan di kilang ternakan di Sitiawan, Perak.
Selepas bekerja selama empat hari, beliau berhenti kerana tidak biasa diberikan kerja. Beliau juga tidak puas hati dengan gaji minimum RM1,200 walaupun disediakan tempat tinggal.
“Saya tidak suka persekitaran penyembelihan dan memproses ayam.
“Mengenai bayaran, gaji untuk bekerja sambilan di restoran lebih tinggi,” katanya.
Son Hin berkata beliau lebih suka bekerja sebagai tukang masak dan kembali ke KL dengan harapan untuk bekerja di restoran.
Memandangkan beliau tiada duit, beliau memilih untuk tinggal di jalanan sehingga mendapat pekerjaan.

Seorang lagi gelandangan, Hedy, 33, berjaya mendapat kerja di sebuah kilang sarung tangan di Sepang, Selangor.
Beliau tidak berpuas hati dengan waktu kerja yang panjang, dan berkata kerja lebih masa adalah wajib dan cuti tidak dibenarkan ketika bekerja di syarikat itu.
“Saya diberikan bayaran yang baik dan disediakan tempat tinggal berhampiran syarikat, namun saya tidak gembira dengan waktu bekerja yang panjang.
“Saya diminta bekerja 12 jam dan melakukan kerja lebih masa selain tidak dibenarkan bercuti. Saya merasakan ia terlalu panjang dan memenatkan,” kata Hedy.
Hedy yang berasal dari Kelantan, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, menyatakan beliau sanggup untuk ambil kerja lain yang dapat berikan waktu rehat dan waktu kerja yang lebih pendek.
Menurutnya, waktu lapangnya membolehkan beliau melawat keluarga.
Hedy juga berkata beliau tidak kisah mendekati DBKL lagi, sekiranya DBKL mempertimbangkan untuk memberi kerja yang dipilih.
Muka baharu dalam kalangan gelandangan
Terdapat juga individu yang baharu menjadi gelandangan berikutan kesan daripada pandemik.
Shah, 28 dari Senawang, Negeri Sembilan, hilang pekerjaan sebagai tukang masak di sebuah restoran di KL, akhirnya menjadi gelandangan pada Jun.
Shah berkata majikannya sebelum ini menawarkan untuk menyediakan makanan harian sahaja bagi menggantikan gajinya, yang mana tawaran itu beliau tolak.
Sebelum menjadi gelandangan, beliau berjaya mendapatkan kerja sebagai pengawal keselamatan atas sokongan DBKL. Bagaimana pun syarikat berkenaan gagal membayar gaji sebagaimana yang dijanjikan, menyebabkan beliau berhenti.
“Saya didekati DBKL dan mereka berjaya dapatkan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan.
“Namun syarikat berkenaan gagal mematuhi janji yang diberikan kepada DBKL kerana mereka memanipulasi syarat pekerjaan.
“Salah satu daripadanya adalah gaji, mereka janji nak bayar gaji penuh RM1,200, namun selepas seminggu bekerja, mereka buat potongan penginapan dan potongan lain,” katanya menambah beliau akan terima kerja yang disyorkan DBKL sekiranya majikan tidak mempermainkannya.

Shah berkata sekiranya beliau tidak berjaya mendapatkan pekerjaan, beliau akan kembali ke kampung halamannya.
Seorang lagi individu yang mula tinggal di jalanan adalah Siti Zaleha, 58, yang sudah tiga bulan menjadi gelandangan.
Beliau yang merupakan pesakit diabetis dan mempunyai jangkitan di kaki kanannya menjadi gelandangan selepas teman serumahnya berkahwin dan beliau tiada tempat tinggal.
Sebagai orang baharu di jalanan, beliau terlalu naif dan kehilangan kad bank, kad pengenalan dan juga wang tunai yang dimiliki dalam poketnya.
Walaupun bernasib malang, beliau menganggap semua itu sebagai satu bentuk kegembiraan. Katanya, dia dijaga oleh NGO yang turut memberikan rawatan luka di kakinya serta menyediakan kerusi roda untuk memudahkannya bergerak.
“Walaupu kami tidur di jalanan, kami diberikan banyak makanan dan rawatan perubatan oleh doktor yang baik.
“Sekiranya DBKL berikan tempat berlindung, saya pasti akan terima kerana keadaan sakit saya, memandangkan saya sudah tua dan tidak mampu bekerja lagi,” kata Siti.
Walaupun situasi Covid-19 mengancam nyawa, golongan gelandangan ini menyatakan mereka tiada pilihan kecuali tidur di jalanan, kerana mereka tidak mampu mendapatkan tempat berteduh dan makanan.
Buat masa ini, mereka diberikan makanan oleh kumpulan yang mendermakan makanan, lima kali sehari.
DBKL telah menjalankan ujian saringan terhadap gelandangan yang dibawa ke tempat perlindungan sebelum ini. Bagaimana pun, kumpulan baharu masih belum menjalankan ujian dan berkemungkinan terdedah kepada virus.
Tinggalkan komen anda