Ekonomi Johor terus menguncup – MB


shadow

 Ekonomi Johor terus menunjukkan penguncupan apabila dijangka mencatatkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 17.1 peratus.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata penyusutan itu berikutan hampir semua sektor ekonomi negeri terjejas dicetuskan wabak COVID-19 dan mengalami pertumbuhan negatif kecuali sektor pertanian.

Katanya, walaupun data berasaskan negeri bagi suku kedua belum dikeluarkan, beberapa pemerhatian penting untuk Johor dapat dilakukan berlandaskan prestasi ekonomi nasional.

“Pertumbuhan KDNK Johor pada suku kedua tahun ini berkemungkinan besar lebih merosot berbanding penguncupan 17.1 peratus dicatat di peringkat nasional pada suku kedua 2020.

“Ini kerana ekonomi Johor memulakan 2020 dalam keadaan kurang memberangsangkan selepas pertumbuhan KDNK tahun lalu hanya mencatat kadar 2.7 peratus.

“Ia pertumbuhan paling rendah dalam tempoh 10 tahun ini dipengaruhi momentum perlahan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Raven Kumar (BN-Tenggaroh) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasni yang juga ADUN Benut berkata, berasaskan trend terkini dan faktor terbabit, KDNK Johor 2020 dianggarkan akan menguncup pada kadar lebih merosot daripada ramalan paras nasional, iaitu antara 3.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Secara kebiasaannya, KDNK Johor akan menguncup lebih banyak daripada kadar nasional kerana kebergantungan dinamik ekonomi negeri kepada Singapura.

“Sektor perkhidmatan Johor mengalami penurunan ketara dalam perdagangan borong dan runcit serta subsektor makanan dan minuman serta penginapan akibat permintaan agregat menurun,” katanya.

Hasni berkata, kadar pengangguran Johor juga merosot apabila dianggarkan sejumlah 173,000 atau lebih pekerja hilang pekerjaan.

“Hal ini disebabkan pertumbuhan ekonomi Johor perlahan, terutama sekali dalam sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan.

“Tambahan pula, ahli ekonomi Singapura meramalkan seramai 45,000 hingga 200,000 akan diberhentikan kerja di Singapura.

“Sekiranya perniagaan di Singapura mengecilkan operasi mereka, ribuan rakyat Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura berkemungkinan besar akan diberhentikan dahulu,” katanya.

Tinggalkan komen anda