DOJ cuba dapatkan AS$300 juta lagi aset 1MDB di UK


shadow

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mendapatkan semula tambahan aset bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion) yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal berbilion ringgit 1MDB.

Aset-aset itu dijejak daripada satu akaun escrow di United Kingdom (UK), lapor Reuters.

Pihak berkuasa Malaysia dan AS menganggarkan sejumlah AS$4.5 bilion wang 1MDB dicuri melalui perancangan terperinci, antaranya melibatkan pegawai tertinggi dana itu, bekas perdana menteri Najib Razak dan pegawai bank AS Goldman Sachs.

Najib menafikan dakwaan tersebut.

Menerusi aduan yang difailkan di California, AS, DOJ berkata wang AS$300 juta itu dikesan daripada aliran pinjaman jangka panjang syarikat Arab Saudi PetroSaudi Oil Services daripada syarikat minyak Venezuela Petroleos de Venezuela SA bagi projek usaha sama penggalian minyak.

Kedua-dua syarikat itu kini terlibat dalam pertikaian undang-undang berhubung dana itu yang dibekukan oleh mahkamah di Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa Britain.

DOJ juga turut berkata mereka cuba mendapatkan puluhan poster promosi filem yang dimiliki penerbit Hollywood yang juga anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa diperoleh menggunakan dana berkaitan 1MDB lebih AS$4 juta.

Mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Riza Aziz pada Mei lepas selepas dia bersetuju untuk membantu pihak berkuasa mendapatkan semula aset berkaitan 1MBD.

Dengan perkembangan terbaru ini, AS kini cuba mendapatkan jumlah keseluruhan sebanyak AS$2.1 – yang terbesar pernah diusahakannya.

Setakat ini AS telah mendapatkan atau membantu Malaysia mendapatkan semula hampir aset bernilai AS$1.1 bilion.

Tinggalkan komen anda