Bomba bantu mandikan kerbau milik ‘Mowgli Malaysia’


shadow

Dugaan yang menimpa keluarga Muhammad Syukur Khamis atau dikenali ‘Mowgli Malaysia’ ekoran kehilangan hampir separuh dari 110 ekor kerbau peliharaan mereka akibat wabak hawar berdarah mendapat perhatian dan simpati ramai pihak.

Antaranya ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu yang tampil membantu memandikan kerbau-kerbau milik keluarga itu yang masih ada.

“Terima kasih banyak kepada pihak bomba sebab tolong mandikan kerbau. Cuaca panas sangat hari ini, memang saya risau sebab kerbau boleh mati kalau dibiarkan panas dalam tempoh yang lama.
“Sebelum ini kami terpaksa berulang-alik dari rumah ke kandang sejauh tiga kilometer untuk mengangkut air dan gunakan pam untuk mandikan kerbau seekor demi seekor, memang sukar tetapi itu lah rutin kami,” kata Muhammad Syukur ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Remaja berumur 15 tahun itu berkata kebiasaannya semua kerbau peliharaan keluarganya akan dibiar keluar meragut rumput dan berkubang di sekitar kawasan kandang di Kampung Kubang Bujuk.

Namun katanya, sejak kematian 56 kerbaunya secara berperingkat sejak 9 Sept lepas, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah mengarahkan agar mengurung semua kerbau bagi mengelak ia keluar dan bercampur dengan ternakan lain.

“Kami akur dengan arahan tersebut kerana faham kuarantin itu perlu dilakukan bagi mengelak jangkitan ke kawasan lain..
“Namun cabaran kami ialah untuk memastikan semua kerbau terus selesa berada di dalam kandang kerana habitat binatang itu sememangnya memerlukan cuaca sejuk untuk terus hidup,” ujarnya.

Dalam pada itu Muhammad Syukur turut menzahirkan kegembiraannya kerana berpeluang memandikan sendiri kerbau-kerbaunya menggunakan hos bomba dengan tunjuk ajar anggota bomba.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Ahmad Khairi Mamat berkata seramai enam anggotanya bersama satu jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu menyertai khidmat khas tersebut bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Muhammad Syukur.

“Untuk hari ini kita telah gunakan sebanyak 3,600 liter air untuk tujuan menyejukkan haiwan-haiwan ini. Bagaimanapun untuk tindakan selepas ini bergantung kepada keadaan semasa dan sekiranya perlu kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Sumber : Bernama , Syukor Khamis

Tinggalkan komen anda