Bicara Zahid ditangguh lagi


shadow

Perbicaraan melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi ditangguhkan selepas mahkamah diberitahu bahawa presiden Umno itu perlu menjalani kuarantin Covid-19.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan peguam bela Hamidi Mohd Noh untuk menangguhkan perbicaraan semasa prosiding pagi ini.

Zahid yang juga bekas timbalan perdana menteri tidak hadir di mahkamah hari ini.

Mahkamah membenarkan penangguhan itu selepas Hamidi memberitahu bahawa tertuduh diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah oleh Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu.

“Tertuduh akan menjalani ujian lain hari ini di kediamannya oleh KKM (Kementerian Kesihatan) untuk ujian RT-PCR untuk menentukan sama ada dia positif atau negatif (Covid-19).

“Ujian (RT-PCR) hanya dapat dilakukan pada hari ini.

“Dalam hal ini, pihak pembelaan ingin memohon penangguhan perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu (minggu ini) kerana dia akan diuji hari ini dan keputusannya hanya akan keluar esok,” kata Hamidi.

Timbalan pendakwa raya (DPP) Raja Rozela Raja Toran tidak membantah permohonan penangguhan tersebut.

Sequerah kemudian mengosongkan tarikh perbicaraan untuk hari ini, esok dan Rabu minggu ini, serta memerintahkan perbicaraan disambung semula pada 12 Oktober.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, perbicaraan akan berlangsung (hari ini hingga Rabu akan dikosongkan,” kata hakim.

Pada 21 Sept lalu, mahkamah dilaporkan menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada hari itu sementara menunggu keputusan ujian Covid-19 terhadap tertuduh.’

Penangguhan dibuat seelpas Zahid menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga setelah dia kembali dari Sabah, di mana dia berkempen untuk BN dalam pilihan raya negeri Sabtu lalu.

Dilaporkan bahawa ujian saringan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 yang dilakukan terhadap Zahid menunjukkan keputusan negatif. Ujian yang sama dilakukan pada 27 Sept juga negatif.

Zahid dilaporkan mempunyai kontak dengan calon BNdi kerusi Dun Pitas, Sufian Abd Karim.

Sufian dikesan positif Covid-19 semasa kempen pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini dan sedang menjalani kuarantin.

Zahid, yang juga bekas menteri dalam negeri dibicarakan atas 47 pertuduhan di mahkamah.

Dua belas pertuduhan itu adalah melibatkan dakwaan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Tinggalkan komen anda