Bersatu lucut keahlian Osman Sapian serta-merta – Lembaga Disiplin


shadow

Lembaga Disiplin Bersatu hari ini melucutkan keahlian bekas menteri besar Johor Osman Sapian susulan tindakannya yang didakwa membantu kempen calon Bebas pada pilihan raya kecil DUN Slim baru-baru ini.

Justeru, kata pengerusi lembaga displin, Megat Najmuddin berkata Adun Kempas itu tidak perlu didakwa di depan Lembaga Disiplin parti atas tindakannya itu.

“Mengikut Perlembagaan Bersatu, Fasal 10.2.3, Datuk Osman telah secara automatik / serta-merta terlucut keahlian beliau dalam parti Bersatu.

“Tak perlu di dakwa depan Lembaga Disiplin. Setiausaha agung (Bersatu) boleh memberitahu kepada umum bahawa Datuk Osman tidak lagi merupakan ahli Bersatu kerana tingkahlaku beliau sendiri,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian apabila ditanya mengenai adakah Osman sudah dipanggil oleh pihak lembaga disiplin dan tindakan yang diambil susulan tindakan Osman yang didakwa membantu calon Bebas di PRK Slim baru-baru ini.

Baru-baru ini, tular video yang menunjukkan Osman yang dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika di PRK Slim.

Bagaimanapun, Osman mendakwa kehadirannya di Slim, Perak sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.

Osman bagaimanapun, enggan mengulas mengenai kenyataan Megat Najmuddin itu ketika dihubungi.

“Saya tak nak komen,” jawabnya.

Semalam, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berkata Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada lembaga disiplin parti itu untuk menentukan tindakan terhadap Osman berhubung tindakannya itu.

Ahmad Faizal berkata jawatankuasa lembaga disiplin sebelum itu perlu menyiasat dan memanggil Osman untuk memberi keterangan.

Tinggalkan komen anda