Bekas kakitangan Utusan mahu kes dibawa ke Mahkamah Industri


shadow

BEKAS kakitangan Utusan Melayu (M) Bhd amat berharap agar tuntutan manfaat penamatan kerja dapat dibawa ke Mahkamah Industri, kata peguam Ahmad Fakhri Abu Samah.

Jelasnya, ini untuk membolehkan hukuman dikenakan ke atas pengarah Utusan dan juga pihak pelikuidasi, katanya yang mewakili 200 bekas kakitangan tersebut.

Kakitangan bawah Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu itu menggesa demikian untuk menyegerakan tuntutan yang mencecah RM9 juta.

“Di Mahkamah Industri, kalau majikan gagal bayar pampasan maka mahkamah boleh jatuhkan hukuman RM2,000 maksimum atau penjara dua tahun kepada pengarah Utusan atau pihak likuidasi,” katanya.

Beliau mengulas keputusan mahkamah hari ini yang menetapkan tarikh 2 November sama ada saman terbabit akan dipindah ke Mahkamah Industri atau Mahkamah Dagang dan Insolvensi.

“Kita hendak perkara ini dapat disegerakan secepat mungkin,” katanya lagi kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Katanya, bekas kakitangan tersebut bimbang jika Utusan tidak akan dapat membayar pampasan yang dituntut oleh mereka sekira kes itu terus berlarutan.

“Isunya adalah apabila perkara ini dipanjangkan lagi , kami khuatir adakah Utusan masih ada harta- harta yang dicairkan?” kata Ahmad Fakhri.

Jelasnya, NUJ sudahpun mencuba lima kali untuk berunding dengan pihak Utusan Malaysia tetapi tidak dilayan untuk mendapatkan pampasan terbabit.

“Ketika mesyuarat pelantikan pelikuidasi interim kepada tetap, manfaat penamatan tidak dinyatakan dalam penyata kewangan yang diedarkan kepada semua pihak.

“NUJ Utusan cuba berunding dengan pihak Utusan sebanyak tiga kali dan dua kali hantar surat untuk pengesahan, tetapi tiada respon.

“Jadi tiada pilihan selain terpaksa mendapat perlindungan undang-undang kerana jumlah manfaat penamatan secara kasar RM8 hingga RM9 juta milik ahli NUJ, itu yang kita perjuangkan,” jelasnya.

Saman itu dikemukakan di Mahkamah Dagang dan Insolvensi pada Oktober lalu bagi menuntut perjanjian kolektif (CA) diiktiraf dalam membayar faedah pemberhentian dan pampasan.

Seramai 200 plaintif itu meliputi bekas wartawan, jurugambar dan artis grafik Utusan Melayu yang diberhentikan secara tiba-tiba pada Oktober 2019.

Sejak 2018, Utusan gagal membayar gaji pekerja tersebut mengikut jadual hingga ada yang tertangguh berbulan-bulan.

Utusan Melayu kemudian menghentikan operasinya pada Oktober 2019 kerana menghadapi masalah kewangan.

Syarikat itu melantik UHY Advisory sebagai pelikuidasi untuk mencairkan aset-aset syarikat untuk membayar hutang dan pampasan kepada bekas pekerja.

Utusan Malaysia kini telah kembali beroperasi pada Julai lalu bawah syarikat penerbitan baharu, Media Mulia Sdn Bhd.

Tinggalkan komen anda