Bekas CEO 1MDB enggan kata Najib tak tahu urus niaga Devonshire


shadow

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu lembaga pengarah 1MDB dan perdana menteri ketika itu, Najib Razak tidak dimaklumkan tentang pelbagai pindahan dana daripada 1MDB Global Investments Limited kepada Devonshire Capital Growth Fund.

Ia berdasarkan keterangan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika pemeriksaan balas dengan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed hari ini.

Shahrol bagaimanapun enggan mengesahkan jika Najib – yang juga menteri kewangan dan pemegang saham utama 1MDB ketika itu – tiada pengetahuan tentang urus niaga dengan Devonshire.

Kedua-dua syarikat itu didaftarkan di Kepulauan British Virgin.

Shahrol mengesahkan dia tidak pernah mendengar apa-apa tentang Devonshire pada masa itu. Dia juga berkata pengarah 1MDB Global – Mohd Hazem Abdul Rahman and Azmi Tahir – tidak memaklumkan pemindahan itu kepada lembaga pengarah 1MDB.

Wan Aizuddin kemudian menunjukkan beberapa dokumen bank, dan Shahrol setuju bahawa ada beberapa transaksi daripada 1MDB Global kepada Devonshire.

Shahrol juga setuju yang satu lagi dokumen yang ditunjukkan Wan Aizuddin mengesahkan bahawa 1MDB adalah pemilik benifisiari Devonshire.

Walaupun Devonshire dibangkitkan ketika mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, Shahrol berkata lembaga tidak pernah meluluskan pengambilalihan syarikat itu.

Aizuddin: Dokumen menunjukkan hutang daripada 1MDB Global kepada Devonshire dibuat sepenuhnya tanpa pengetahuan pemegang saham dan lembaga pengarah 1MDB.

Shahrol: Saya boleh bercakap sebagai (bekas) ahli lembaga yang pemindahan itu tidak dibangkitkan dalam lembaga, tetapi saya tidak tahu apa yang pemegang saham tahu.

Aizuddin: Memandangkan tiada resolusi yang dikeluarkan pemegang saham, boleh disimpulkan yang pemegang saham tiada pengetahuan tentang syarikat ini mahupun transaksi debit.

Shahrol: Saya tak boleh (simpulkan yang) ketiadaan kelulusan rasmi bermakna pemegang saham tak tahu. Saya hanya boleh kata tiada kelulusan rasmi dimohon pada lembaga pengarah atau pemegang saham.

Apa yang Shahrol pasti adalah tiada resolusi pemegang saham berkenaan pengambilalihan Devonshire dan pemindahan dana.

Tidak banyak yang diketahui tentang Devonshire walaupun beberapa nama yang disebut Aizuddin nampaknya sepadan dengan pengurusan kanan Devonshire Capital Limited yang berpangkalan di Bangkok, Thailand.

Syarikat itu menyifatkannya sebagai bank perdagangan “butik” dengan keberadaan di peringkat antarabangsa.

Aizuddin meneliti senarai individu itu dan menunjukkan satu salinan pasport. Shahrol berkata dia tidak pernah mendengar apa-apa tentangnya sebelum ini.

Aizuddin kemudian mencadangkan kepada Shahrol bahawa Devonshire kelihatan seperti sebuah syarikat palsu (phoney).

Aizuddin: Berdasarkan dokumen yang saya tunjukkan ini, termasuk certificate of claim bahawa Devonshire dimiliki secara benifisiari oleh 1MDB, adakah anda setuju syrikat ini seperti ditubuhkan dengan tujuan menyeleweng dana daripada 1MDB Global tanpa pengetahuan 1MDB?

Shahrol: Ya.

Aizuddin: Adakah anda mengesahkan tiada resolusi daripada pengarah atau pemegang saham? Tiada kelulusan bertulis daripada perdana menteri sejajar dengan Perkara 117 Memorandum & Artikel Pertubuhan 1MDB, untuk hutang kepada Devonshire?

Shahrol: Ya.

Fasa Devonshire dalam skandal 1MDB berkaitan dengan bon AS$3 bilion yang diraih 1MDB untuk usaha sama dengan Aabar PJS Ltd milik Abu Dhabi. Penerbitan bon itu dikendalikan Goldman Sachs.

Projek usaha sama dikenali sebagai Abu Dhabi Malaysia Investment Company yang sepatutnya membangunkan projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

Menurut pendakwaan, Devonshire menerima AS$646,464,649 secara lima peringkat dalam masa dua hari pada 21 Mac 2013, sebelum memindahkan jumlah itu kepada satu lagi syarikat, Tanore Finance.

Pendakwaan juga cuba membuktikan yang Tanore memindahkan AS$681 juta, antara 21 Mac 2013 hingga 10 April 2013, ke akaun bank Najib.

Tinggalkan komen anda