BERSATU melantik Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), dua minggu selepas mereka disahkan menyertai parti itu.
Pelantikan mereka dibuat dalam mesyuarat sulung MPT Bersatu bagi penggal 2020-2022, semalam, kata Setiausaha Agung parti Hamzah Zainuddin.
Azmin turut dilantik mempengerusikan biro antarabangsa Bersatu.
Azmin dan Zuraida adalah antara 10 ahli Parlimen bekas PKR yang diterima masuk Bersatu pada hujung bulan lepas, enam bulan selepas berpakat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Azmin dan Zuraida dipecat dari PKR pada 24 Februari lalu selepas berpakat dengan Bersatu untuk menarik sokongan daripada PH sehingga menyebabkan kerajaan jatuh.
Turut dilantik ialah sebagai ahli MPT ialah Ahli Parlimen Mersing Abdul Latiff Ahmad, salah seorang daripada 15 ahli Parlimen Umno yang keluar parti untuk menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Mesyuarat semalam yang dipengerusikan oleh Presiden parti Muhyiddin Yassin turut melantik Mohd Redzuan Mohd Yusof dan Abdul Rashid Asari, dua bekas calon naib presiden yang kalah pemilihan, sebagai ahli MPT.
Sementara itu, ahli MPT yang menang pemilihan Wan Saiful Wan Jan dinamakan sebagai ketua penerangan Bersatu yang baharu.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu dilantik menggantikan Mohd Radzi Jidin yang diberi tugas baharu sebagai pengerusi biro latihan dan perkaderan.
Mesyuarat MPT Bersatu semalam turut bersetuju melantik naib ketua wanita yang terpilih Mas Ermieyati Samsudin mempengerusikan jawatankuasa pindaan perlembagaan parti.
Jawatankuasa itu akan meneliti dan mengkaji perlembagaan Bersatu, kata Hamzah.
Semasa berucap menerima kemasukan Azmin dan pengikutnya ke dalam Bersatu pada 24 Ogos lalu, Muhyiddin berkata Bersatu akan meminda perlembagaan untuk memberi lebih ruang dan peranan kepada ahli bukan Melayu dan bukan Bumiputera.
Pada masa ini, Perlembagaan Bersatu menerima bukan Melayu dan bukan Bumiputera sebagai ahli bersekutu, yang bagaimanapun tidak menikmati hak sebagai ahli biasa.
Hanya ahli biasa yang terdiri daripada Melayu dan Bumiputera yang ditakrifkan sebagai pribumi diberi hak untuk mengundi dan bertanding bagi mana-mana jawatan dalam parti serta dikira sebagai korum dalam persidangan parti.
Azmin mendakwa kumpulan penyokongnya, yang bergerak melalui empat badan masyarakat, dianggarkan berjumlah lebih 200,000 orang di semua 222 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, mesyuarat MPT Bersatu semalam turut melantik timbalan presiden Ahmad Faizal Azumu mengetuai badan pimpinan Bersatu Pahang selain mempengerusikan Bersatu Perak.
Hamzah pula dilantik mempengerusikan badan pimpinan Bersatu Perlis.
Tinggalkan komen anda