APMM tahan 13 warga asing tiada permit, pasport sah


shadow

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan 13 warga asing kerana tidak mempunyai permit kerja dan pasport sah dalam Operasi Khas Maritim di perairan Selat Dinding di Pulau Pangkor dan Bagan Datuk, di Lumut, semalam.

Pengarah Maritim negeri Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata operasi yang bermula pukul 8 pagi itu dilakukan ke atas sebuah bot nelayan tempatan dan dua sangkar ikan di sekitar kawasan perairan berkenaan.

Beliau berkata penahanan itu melibatkan sebuah bot nelayan tempatan yang menggajikan lima warga asing iaitu seorang warga Myammar dan empat warga Rohingya kerana tidak memiliki permit sah daripada pihak berkuasa.

“Pemeriksaan ke atas dua sangkar ikan mendapati pekerjanya iaitu lima warga Indonesia dan tiga warga Nepal tidak mempunyai permit dan pasport sah. Daripada lapan pekerja itu, hanya seorang warga Indonesia mempunyai pasport tetapi tidak memiliki permit kerja,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di Lumut, semalam.

Shahrizan berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menunda di luar kawasan dibenarkan serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Sementara itu, Shahrizan berkata sebanyak 48 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan sejak Op Benteng dilaksanakan pada 12 Mei lalu sehingga kini dan kebanyakan yang ditangkap merupakan warganegara Myammar.

“80 peratus kesalahan tersebut melibatkan kesalahan ketiadaan permit warga asing dan kita dapati semakin ramai warga asing tiada permit digaji atas bot nelayan yang berlesen.

“Perkara ini amat membimbangkan…kita sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan saya percaya kesemua mereka (warga asing) tidak menjalani saringan dan pemeriksaan,” katanya menambah APMM sentiasa meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim di perairan di negeri ini.

– Bernama

Tinggalkan komen anda