292 pengunjung kelab malam ditahan ingkar PKPP


shadow

SERAMAI 292 individu ditahan ketika melakukan aktiviti di pub dan kelab malam yang melanggar perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Mereka adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 584 individu yang ditangkap semalam kerana melanggar PKPP, tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekumpulan lain, seramai 224 orang ditangkap kerana tidak mematuhi peraturan penjarakan sosial, selain tidak mematuhi perintah PKPD (18), kegagalan memberi rekod maklumat peribadi (17), tidak memakai pelitup muka (14), memasuki kawasan larangan ( 13) dan premis beroperasi lebih masa (6).

Seramai 568 individu ditahan sementara 16 individu direman, katanya.

Beliau juga berkata polis dan pihak berkuasa tempatan digesa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kelab malam dan pub, termasuk membawa mereka ke muka pengadilan dan menarik lesen operasi kerana melanggar peraturan dan undang-undang PKPP.

Kelab malam dan pub masih dilarang beroperasi di bawah PKPP.

Ismail juga berkata 120 orang ditangkap kerana memasuki negara ini secara haram.

Operasi bersama terus dilakukan oleh polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia serta Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk membendung jenayah rentas sempadan.

Semalam, mereka berjaya menangkap 65 pendatang tanpa izin, tiga penyeludup dan tiga tekong.

Seramai 27 pendatang tanpa izin itu ditahan di Kompleks Rakan Muda, Johor, kerana cuba meninggalkan Malaysia melalui jalan tidak digazetkan.

Agensi penguatkuasaan akan terus memperketatkan kawalan sempadan, terutama jalan tikus, katanya.

Tinggalkan komen anda